Mahkamah Rayuan putuskan undang-undang kunci tayar kenderaan tidak sah | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Rayuan putuskan undang-undang kunci tayar kenderaan tidak sah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 8 Dis - Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya hari ini secara sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

 

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh YA Hakim Datuk Hashim Hamzah, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Malaysia Dateline.

 

Mahkamah walau bagaimanapun memutuskan bahawa Perintah 8 di bawah Perintah yang sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan letak kereta.

 

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang Lian.

 

Dengan keputusan ini, maka pihak MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun sahaja.

 

Perayu di dalam kes ini, Nursyafawati Binti Kasim diwakili oleh peguam yang diketuai oleh Hisham Fauzi dan dibantu oleh Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing.

 

MPKB pula diwakili peguam Marwalis Adam dan dibantu oleh Shaharuddin Mohamed.

 

Sebelum ini, gesaan demi gesaan dibuat oleh orang ramai agar Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi kelonggaran terhadap peraturan meletak kenderaan di bandar ini, selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan terhadap pemilik.

 

Orang ramai mendakwa, sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan di sini seolah-olah rancak membuat ‘bisnes’ kunci tayar apabila sengaja mencari pesalah di bahu jalan terutama di laluan masuk hospital dan lokasi tumpuan awam.

 

Mereka berpendapat peraturan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci tersebut dibuka perlu diberi kelonggaran atau sekurang-kurangnya diskaun, mengambil kira kebajikan rakyat yang kini berdepan musim pandemik berpanjangan. - DagangNews.com