MAA unjur jualan kenderaan di Malaysia lebih tinggi bulan Mac berbanding 62,649 unit pada Februari | DagangNews Skip to main content

MAA unjur jualan kenderaan di Malaysia lebih tinggi bulan Mac berbanding 62,649 unit pada Februari

oleh HUDA HASSAN

 

KUALA LUMPUR 20 Mac - Sebanyak 62,649 unit kenderaan terjual di Malaysia pada Februari berbanding 45,062 unit pada bulan sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA)

 

MAA berkata, jualan kenderaan penumpang turut melonjak kepada 55,555 unit pada Februari 2023 berbanding 40,119 unit pada Februari 2022, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 7,094 unit berbanding 4,943 unit dalam tempoh yang sama.

 

Jualan kenderaan pada dua bulan tahun ini turut tinggi iaitu 112,128 unit berbanding 86,595 unit dengan kenderaan penumpang naik kepada 99,500 unit berbanding 74,689 unit tempoh sama 2022 dan kenderaan komersial sebanyak 12,628 unit berbanding 11,906 unit. 

 

Tambahnya, jumlah jualan dua bulan pertama 2023 adalah 29.5 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan dikaji juga adalah 27 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2023 iaitu pada 49,479 unit.

 

"TIV yang tinggi pada Februari 2023 berikutan syarikat menghantar tempahan pelanggan yang tertunggak," kata MAA dalam satu kenyataan.

 

MAA berkata, dari segi jumlah pengeluaran pula, sebanyak 63,798 kenderaan dikeluarkan pada Februari 2023 berbanding dengan 51,291 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

 

Menurutnya, pengeluaran kenderaan penumpang mencatatkan peningkatan iaitu kepada 59,843 unit pada Februari 2023 berbanding 47,445 unit pada Februari tahun lalu, manakala pengeluaran kenderaan komersial pada 3,955 unit daripada 3,846 unit sebelumnya.

 

“Bagi dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 122,325 unit dikeluarkan berbanding 94,252 unit untuk tempoh yang sama pada tahun lalu.

 

“Daripada jumlah itu, 114,506 unit adalah kenderaan penumpang pada tempoh dikaji berbanding 86,900 unit pada dua bulan pertama tahun lalu, manakala kenderaan komersil menyaksikan 7,819 unit dikeluarkan pada tempoh dikaji berbanding 7,352 unit pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

 

maa

 

Mengulas mengenai unjuran pada Mac 2023, MAA berkata, pihaknya menjangkakan jumlah jualan akan lebih tinggi daripada Februari 2023.

 

Tambahnya, ia antara lain disumbang oleh syarikat kereta yang tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 yang mahu membuat penghantaran segera.

 

"Selain itu, terdapat kempen promosi sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan pada masa sama memenuhi tempahan yang dibuat ketika tempoh pengecualian cukai lalu," katanya. - DagangNews.com