KIJANG. WAU. PITIS. KERIS. Tonggak Identiti Terawal Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 10 April 2023

KIJANG. WAU. PITIS. KERIS.

Tonggak Identiti Terawal Malaysia

 

 

SEWAKTU Malaysia baru mencapai kemerdekaan, pemimpin terutamanya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj begitu berhati-hati dalam membentuk identiti negara yang baru terzahir.

 

Menurut Allahyarhamah Mak Ungku Teh Zaitun, pada 31Ogos 1957, segala persiapan gilang gemilang serta simbol insignia negara, dari pemilihan lambang kebesaran, perhiasan, persembahan rakyat ke adat istiadat diraja mendapat perhatian terperinci Tunku.

 

Apabila kita mengkaji dua acara sejurus selepas kemerdekaan, kita dapat melihat kepentingan budaya Melayu sebagai identiti Negara.

 

Pada 2 September 1957,  DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bakal ditabalkan buat pertama kali. Adat istiadat majlis pertabalan mesti melambangkan kedaulatan dan keberadaannya. Ini termasuk Tengkolok Diraja, Muskat yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Keris seperti Keris Panjang Diraja, ia hanya dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


 

ninot aziz
Majlis pertabalan Tuanku Abdul Rahman sebagai Agong pertama Baginda diiringi Permaisuri Tuanku Kurshiah pada 1957. - Gambar ARKIB NEGARA

 


Bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Gendik (Pemeles) dan Kalun diraja dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan waktu pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

Dua minggu kemudian pada 17 September 1957 di mesyuarat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB),  Tun Dr Ismail Abdul Rahman hadir mewakili Persekutuan Taanah Melayu atau Malaya berpakaian tradisional Melayu, lengkap berkeris, tanjak dan samping berjalan menuju ke rostrum untuk memberi ucapan sulung sebagai wakil Malaya di PBB.


 

tnb

 


Budaya dan busana Melayu menjadi lambang terpenting dari saat terlahirnya negara merdeka.

 

Lambang Identiti Negara

Simbol dan logo memainkan peranan penting dalam kehidupan, budaya dan ekonomi. Simbol dan logo yang menarik dan mudah diingat dapat membantu meningkatkan kedudukan jenama.

 

Ia dapat membangkitkan kesan emosi dalam diri yang melihat logo tersebut. Kepentingan simbol dan logo dipilih dengan rapi dalam pembentukan identiti negara kita.

 

Kekuatan budaya mencetuskan kekuatan jati diri. Kelantan merupakan negeri paling kaya budaya pada masa itu dan banyak lambang identiti kita datangnya dari Kelantan.

 

Wau, Pitis, Kijang, dan Keris mempunyai kepentingan budaya yang unik dalam masyarakat kita yang mungkin tidak kita sedari.

 

Wau, Pohon Pitis

Kijang dan Keris

 

Antara kepentingan terawal setelah Malaysia ditubuhkan adalah mendirikan sistem perbankan, syarikat penerbangan, pendidikan dan sebagainya.


 

ninot aziz

 


Pada tahun 1959, Bank Negara ditubuhkan dan Malaysia bertanggungjawab penuh ke atas sistem perbankannya apabila pada tahun 1964, Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia.

 

Beliau mencetuskan  ilham menjadikan motif kijang, bulan dan bintang sebagai logo Bank Negara. Ramai berpendapat, motif kijang ini berasal dari pitis emas lama Kelantan iaitu kupang emas dari zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa lagi.

 

Kijang dikenali sebagai binatang kesayangan Cik Siti Wan Kembang melambangkan kemurnian dan membayangkan ketangkasan dan kehalusan.

 

Oleh itu, kijang sering dijadikan sebagai unsur hiasan dan sebagai lambang Negeri Kelantan dan badan kebudayaan. Hingga hari ini Kijang kekal sebagai  lambang institusi terpenting perbankan di Malaysia.


 

tnb


 

Antara logo paling dikenali pula pada awal 70an adalah simbol Syarikat Penerbangan Malaysia yang diilhamkan dari Wau Bulan Kelantan.

 

Wau merupakan sejenis layang-layang tradisional yang lazim diterbangkan oleh masyarakat Melayu terutama di Kelantan dan dipercayai mempunyai nilai-nilai simbolik jati diri seperti kekuatan, semangat juang dan kesenian.

 

Pemilihan sebagai logo Malaysia Airlines begitu tepat kerana melambangkan penguasaan ke atas elemen penerbangan yang telah wujud lebih 500 tahun di Tanah Melayu. Walaupun telah bertukar rupa bentuk sebanyak empat kali sejak diperkenalkan, wau bulan tetap kebanggaan MAS.


 

tnb

 


Sistem perbankan rakyat

Pitis atau mata wang perak tradisional Melayu adalah simbol kewangan yang penting dalam masyarakat Melayu. Selain digunakan sebagai alat transaksi, pitis juga mempunyai nilai sejarah yang kuat.

 

Pitis digunakan sejak abad ke-14 dan hari ini, pitis dianggap sebagai warisan budaya yang berharga digunakan sebagai alat tukar untuk perdagangan di kepulauan Melayu.

 

Pada tahun 1970an, ramai kanak-kanak mula membuka akaun simpanan pertama di Bank Simpanan Pejabat Pos, termasuk saya yang begitu bangga membuka akaun. Inilah pengenalan saya kepada sistem perbankan.


 

tnb

 


Bank Simpanan Nasional Malaysia ditubuhkan pada 1 Disember 1974, di bawah Akta Parlimen 146 iaitu Undang-Undang Malaysia 1974 atas kendalian Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah.

 

Misi BSN adalah untuk menggalakkan simpanan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang berhemat di kalangan rakyat Malaysia demi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

 

Logo BSN diilhamkan pokok duit, atau pohon pitis ,diperbuat dari logam timah yang mengandungi 13 duit syiling dikeluarkan oleh Sultan Muhammad IV. Pada duit syiling ada tertulis "Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321”, dan pada muka sebelahnya “Belanjaan Kerajaan Kelantan”. Inilah mata wang Kerajaan Kelantan.

 

Simbol pokok duit yang melambangkan pertumbuhan dan kekayaan, mempunyai 14 syiling untuk mewakili kesemua negeri di Malaysia dan wilayah persekutuan. Tidak hairanlah ‘Pohon Pitis’ digunakan sebagai logo BSN.

 

Lambang Keris

Tidak asing lagi bagi semua rakyat Malaysia khasnya kaum Melayu adalah keris yang merupakan senjata tradisional Melayu yang mempunyai keunikan dari segi reka bentuk dan terdapat dalam beberapa jenis dan corak yang berbeza.

 

Selain digunakan sebagai senjata, keris juga memiliki nilai simbolik yang kuat dan dianggap sebagai lambang keberanian, kejujuran, dan kehormatan dalam budaya Melayu.

 

Negara kita mengabadikan keris sebagai lambang perjuangan dan semangat tinggi dalam memartabatkan nusa dan bangsa. Contohnya dalam Jata Malaysia, terdapat lima keris yang menandakan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.


 

uitm

 


Keris juga digunakan sebagai simbol, logo atau ikon Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia, dan  Tentera Darat Malaysia. Tentera Darat Malaysia contohnya menggunakan Keris Bersilang Duku Ilang melambangkan keperwiraan. Lambang ini menunjukkan pantang undur dan sanggup berjuang sehingga ketitisan darah yang terakhir.

 

UITM pula  menggunakan Keris Agung bersarung melambangkan kekuatan dan keutuhan bangsa Melayu. Kewibawaan makna identiti keris terserlah dengan logo UiTM yang diletakkan di atas ukiran perak pada pangkal sarung keris.

 

Keris Ganja Seiras Melela pula merupakan insignia Universiti Teknologi Malaysia.  


 

tnb

 


Keunikan simbol-simbol sebegini memberikan gambaran tentang kekayaan budaya Melayu serta nilai-nilai tradisional yang penting bagi masyarakat kita hari ini.

 

Kita ada sejarah. Kita ada budaya yang boleh dibanggakan. Kita ada jati diri.

 

Jangan lupa warisan yang membentuk jati diri ini sekian lama. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags