Kesesakan trafik berterusan memburukkan krisis kesihatan awam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 22 March 2023

Kesesakan Trafik Berterusan Memburukkan Krisis Kesihatan Awam

 

 

 

BANGUN seawal jam 5 pagi dan sanggup tidur di tempat letak kereta sebelum memulakan kerja. Inilah realiti kehidupan sebahagian warga kota yang cuba mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan trafik yang lama.

 

Kesesakan trafik adalah bukan isu baharu yang berlaku di Lembah Klang. Seolah-olah tiada noktah, ia dilihat semakin teruk tanpa mengira waktu puncak atau tidak akhir-akhir ini.

 

Kesesakan trafik bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan mental tetapi juga memberi kesan jangka masa panjang secara keseluruhan khususnya buat pengguna jalan raya yang terkesan.

 

 

parafrasa

 

 

Kesan Kesesakan Trafik

Kesesakan trafik sebenarnya boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental individu yang sering mengalaminya. Ia akan membawa kepada masalah tekanan perasaan yang boleh memberi kesan negatif dalam jangka panjang terhadap kesejahteraan mental.

 

Apabila terperangkap dalam kesesakan trafik, kebiasaannya, individu akan mula mengalami rasa tidak berdaya dan kurang kawalan atas diri sendiri. Apabila ini berlaku, ia secara langsung akan menyebabkan individu itu akan mula berasa kecewa dan juga boleh mencetuskan kemarahan. Tekanan ini akan bertambah teruk dengan ketidakpastian berapa lama lagi masa yang perlu dihabiskan dalam kesesakan trafik jika keadaan berlarutan dan bertambah teruk.

 

Selain itu, tempoh masa yang berpanjangan apabila terperangkap dalam kesesakan trafik  juga boleh menyebabkan ketidakselesaan fizikal seperti sakit belakang, kekejangan otot dan menambah keletihan yang sedia ada selepas penat bekerja seharian dan menambahkan lagi kesan terhadap kesihatan mental.

 

Kesan yang paling ketara disebabkan oleh kesesakan trafik ialah masa terbuang begitu sahaja di atas jalan raya. Pengguna jalan raya yang menghabiskan masa berjam-jam akibat terperangkap dalam kesesakan trafik, boleh menyebabkan kekecewaan dan memberi tekanan. Ini kerana masa yang terbuang sebenarnya  boleh dimanfaatkan untuk melakukan sesuatu yang lebih produktif seperti melakukan aktiviti rohani mahupun fizikal atau meluangkan masa dengan bersosial samada bersama keluarga ataupun rakan-rakan.

 

Kesesakan trafik juga boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan emosi individu. Ia boleh membuat seseorang individu itu berasa cepat berasa letih dan juga berasa tertekan. Emosi negatif, apabila berlaku secara kerap, ia boleh melarat ke bahagian kehidupan yang lain seterusnya boleh menjejaskan kehidupan peribadi seseorang serta mempengaruhi prestasi kerja dan hubungan sosial.

 

Bukan sahaja kesan terhadap kesejahteraan emosi, kesesakan lalu lintas juga boleh memberi kesan terhadap ekonomi. Namun kesan terhadap ekonomi sebenarnya jauh lebih rumit dan sukar untuk dijelaskan sepenuhnya. Terang lagi bersuluh, kesesakan trafik adalah beban terhadap ekonomi, dianggarkan kerugian boleh mencecah jutaan hingga berbilion ringgit akibat produktiviti yang hilang setiap tahun disebabkan masalah ini!

 

Kenaikan kos juga berlaku dan menyebabkan syarikat terpaksa menanggung kerugian akibat kesesakan trafik yang disebabkan oleh kelewatan dalam melakukan penghantaran, janji temu yang tidak dipenuhi atau ditepati dan berhadapan dengan masalah produktiviti disebabkan pekerja lambat untuk bekerja. Manakala, apabila melibatkan pengangkutan, kos bahan api turut meningkat kerana kenderaan akan bergerak perlahan dalam tempoh masa yang lama dan menyebabkan penggunaan bahan api yang tidak efisien berbanding  keadaan trafik yang normal.

 

 

parafrasa

 

 

Satu lagi kesan kesesakan trafik adalah pencemaran udara. Apabila kenderaan terperangkap dalam kesesakan trafik, ia akan mengeluarkan lebih banyak asap yang menyebabkan pencemaran udara berlaku serta boleh menyebabkan masalah pernafasan dan masalah kesihatan lain. Ini menjadi kebimbangan ketara buat penduduk yang tinggal di kawasan bandar, di mana pencemaran udara telah menjadi masalah yang berterusan.

 

Selain itu, kesesakan lalu lintas juga boleh menyebabkan masalah pengasingan sosial. Individu yang terperangkap dan menghabiskan masa berjam-jam dalam kesesakan trafik mungkin akan terlepas acara penting yang melibatkan keluarga atau aktiviti sosial lain yang menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan hidup mereka. Pengasingan sosial ini boleh menyebabkan perasaan sunyi dan sedih.

 

Kesesakan Trafik Yang Tiada Titik Noktah

Punca kesesakan lalu lintas adalah pelbagai dan kompleks. Salah satu punca utama ialah jumlah kenderaan yang banyak di atas jalan raya. Apabila populasi penduduk bertambah terutamanya di bandar-bandar besar, ini akan menambah bilangan kenderaan di jalan raya. Apabila bilangan kenderaan bertambah, ia akan memberi tekanan pada kapasiti jalan raya yang dahulunya direka bentuk untuk mengendalikan dan menampung jumlah lalu lintas semasa.

 

Infrastruktur jalan raya sedia ada yang teruk turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya. Contoh, di bandar-bandar besar terutamanya, kebanyakan jalan raya telah dibina berpuluh tahun lalu dan masih ada yang belum di naik taraf untuk menampung keperluan permintaan trafik semasa.

 

Kelemahan dari segi infrastruktur ini telah membawa kepada masalah kesesakan trafik yang teruk terutamanya di persimpangan dan susur keluar lebuh raya.

 

Masalah kesesakan trafik yang berterusan ini mungkin dapat dikurangkan dengan menambah lebih banyak lorong, membina lebuh raya baharu serta mewujudkan jalan alternatif keluar dan masuk yang baharu.

 

Dengan cara ini, ia akan meningkatkan kapasiti jalan raya dan dapat mengurangkan masalah kesesakan trafik sedia ada. Tetapi kaedah ini sebenarnya adalah bukan jalan penyelesaian terbaik buat jangka masa panjang. Kenapa?

 

Ini kerana, sudah terbukti pada hari ini, dengan menaiktaraf infrastruktur jalan raya dengan menambah lebih banyak lorong dan membina lebuh raya baharu, ia masih tidak dapat mengurangkan masalah kesesakan trafik yang berlaku. Lebih bagus sebenarnya jika kesesakan trafik dapat diatasi dengan alternatif lain dengan kos yang lebih efisien.

 

 

parafrasa

 

 

Salah satu cara yang lebih berkesan adalah dengan menambah baik sistem pengangkutan awam. Apabila kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik, ini akan menggalakkan orang ramai beralih menggunakan sistem pengangkutan awam.

 

Ini secara langsung dapat mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalan raya dan juga secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah bahan api yang digunakan dan pencemaran udara berpunca daripada penggunaan bahan api yang tinggi oleh kenderaan dapat dikawal.

 

Kesesakan Trafik Bukan Masalah Sebenar

Kesesakan trafik sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada masa pengguna jalan raya dan ia akan tetap kekal seperti itu untuk selamanya. Tidak dinafikan bahawa masalah kesesakan trafik adalah sukar untuk diselesaikan.

 

Dengan memberi sejumlah penyelesaian untuk menangani masalah kesesakan trafik tampak mudah.  Tetapi apa yang menjadikannya lebih mudah adalah datang dari pengguna jalan raya itu sendiri. Percayalah! Tingkah laku pengguna jalan raya itu sendiri sebenarnya adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kesesakan trafik. — DagangNews.com

 

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

Portfolio Tags