Kerjaya Prospek berpotensi raih projek pembinaan terakhir bernilai sehingga RM500 juta di BBCC, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek berpotensi raih projek pembinaan terakhir bernilai sehingga RM500 juta di BBCC, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Kerjaya Prospek Group Berhad mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan projek menara kediaman dan blok pejabat terakhir Bukit Bintang City Centre (BBCC) selepas kejayaan menerima kontrak bernilai RM135.4 juta daripada daripada BBCC Development Sdn. Bhd.

 

Kenanga Research berkata, projek itu berkongsi podium yang sama dengan SWNK Houze, Menara SR (sedang dibina oleh kumpulan itu) dan Lucentia Residence (bangunan yang berjaya disiapkan kumpulan itu pada 2021).

 

"Kami percaya baki dua projek itu mempunyai nilai antara RM400 hingga RM500 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu meraih kontrak bernilai RM135.4 juta melibatkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan bangunan utama untuk blok pangsapuri perkhidmatan 31 tingkat, tingkat bawah tanah dan podium yang terdiri daripada tujuh tingkat tempat letak kereta, lobi utama dan dewan serbaguna.

 

Kerja pembinaan ini adalah untuk cadangan projek pembangunan di Off Jalan Hang Tuah/Jalan Pudu, Kuala Lumpur yang dijangka bermula pada 1 Mac 2023 untuk tempoh 36 bulan.

 

BACA JUGA: Kerjaya Prospek raih kontrak pembinaan bernilai RM135.4 juta

 

BBCC Development adalah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UDA Holdings Berhad dan Eco World Development Group Berhad.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana memiliki penyelesaian pembinaannya yang inovatif dan struktur kos yang membolehkan mereka meraih margin keuntungan melebihi purata.

 

Selain itu, kumpulan itu memiliki pasukan pengurusan langsung dan rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh dan keupayaan memenangi pekerjaan luar serta ketersediaan tempahan projek daripada pihak berkaitan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko seperti kemerosotan dalam prospek pekerjaan, peningkatan kos input dan lebihan kos projek serta liabiliti," katanya. - DagangNews.com