Karnival Kerjaya Jamin Kerja di Jelajah AKM Pahang tawar 2,000 jawatan kosong | DagangNews Skip to main content

Karnival Kerjaya Jamin Kerja di Jelajah AKM Pahang tawar 2,000 jawatan kosong

KUANTAN 28 Okt - Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, menawarkan 2,094 jawatan kosong kepada pencari kerja.

 

Pengurus Kes Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang, Syazwani Mohd Tajudin berkata, 46.66% daripada jumlah itu, menawarkan pekerjaan melibatkan pelbagai sektor dengan gaji melebihi RM2,000.

 

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Gebeng iaitu Alliance Steel (M) Sdn Bhd selain Maybank, China Communications Construction Company (ECRL) Sdn Bhd, Prasarana dan Berjaya Hills Resort Berhad. 

 

"Kita menyasarkan seramai 1,500 pencari kerja yang hadir ke reruai Jamin Kerja sepanjang AKM berlangsung dan Perkeso turut menyarankan supaya majikan dapat membuat pengambilan secara terus selepas temu duga," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

 

Selain itu, beliau berkata, majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu bermula 1 Jan tahun ini, boleh mendapat insentif sehingga RM42,000 di bawah JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) sekiranya berdaftar dengan program JKIP.

 

Jelajah AKM berlangsung bermula 9 pagi hingga 9 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) dan perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, dengan pelbagai program serta aktiviti menarik diadakan sempena penganjuran yang masuk sesi ke-12. 

 

AKM kali ini yang diterajui Kementerian Pertahanan (Mindef) bertemakan 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara'. - DagangNews.com