Interaksi bersama al-Quran, bakal peroleh syafaat di akhirat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 25 November 2022

Interaksi bersama al-Quran, bakal peroleh syafaat di akhirat

 

 

Al-Quran diturunkan kepada manusia bukan sekadar untuk dibaca, malah turut perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

 

Individu yang melazimi berinteraksi dengan al-Quran akan digelar dan dinisbahkan sebagai bersahabat dengan al-Quran yang bakal memperoleh syafaat di akhirat kelak.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya pada hari Kiamat al-Quran datang memberi syafa'at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).” (Riwayat Muslim, no.804)

 

Selain itu, individu yang berinteraksi dengan al-Quran melalui proses belajar atau mengajar turut digelar sebagai sebaik-baik manusia.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." (Riwayat al-Bukhari, no.5027)

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa umat Islam dituntut mempelajari al-Quran serta mengajarkannya sama ada untuk memperbetulkan bacaan, memahami isi kandungan dan beramal dengan segala hukum-hakam yang telah ditetapkan.

 


 

irsyad

 

 


Terdapat beberapa kaedah interaksi seseorang manusia bersama al-Quran yang perlu diusahakan dan dipastikan dalam kehidupan supaya sentiasa hampir dengan al-Quran:

 

1. Melazimi membaca al-Quran

Islam telah menjelaskan pelbagai kelebihan serta ganjaran yang akan diperolehi oleh individu yang berusaha membaca al-Quran.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” (Riwayat Muslim, no.798)

 

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab ‘al-Minhaj Syarh Sahih Muslim’ menjelaskan bahawa dua ganjaran yang diperolehi adalah daripada pembacaannya dan kepayahannya dalam membaca al-Quran.

 

Seterusnya, hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘Alif+Lam+Mim’ satu huruf akan tetapi ‘Alif’ satu huruf, ‘Lam’ satu huruf dan ‘Mim’ satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi, no.2910)

 


 

irsyad

 


 

2. Memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran

Istilah yang biasa digunakan ialah ‘tadabbur’ iaitu memikirkan disebalik sesuatu akibatnya. Istilah lain yang hampir sama makna ialah ‘tafakkur’ bermaksud menggerakkan hati atau memikirkan dalil.

 

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta menghayati dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad: 29).

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang maksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah al-Nisa’: 82)

 

Ibn Kathir telah menjelaskan makna tadabbur ialah  memahami makna  lafaz-lafaz  serta  berfikir tentang ayat yang  merangkumi  isyarat  peringatan, nasihat sehingga terkesan pada hati, seterusnya  mengambil pengajaran  dan taat segala perintah Allah SWT.

 

Menurut Syaikh Habannakah, tadabbur ialah proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan terhadap isyarat daripada ayat al-Quran setelah memahami maksud ayat menerusi tafsir.

 

Tadabbur dapat menyingkap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar al-Quran. Perkataan tadabbur hanya digunakan terhadap ayat al-Quran, sebaliknya perkataan digunakan untuk proses yang sama terhadap perkara lain ialah tafakkur.

 


 

irsyad

 

 

Sementara, al-Suyuti pula menjelaskan bahawa tadabbur melibatkan penelitian mendalam yang membabitkan unsur hati.

 

Hati yang serta-merta tunduk mentaati Allah hasil tadabbur akan menambahkan iman dan penghayatan amalan.

 

Demikianlah, interaksi bersama al-Quran perlu selalu dilaksanakan oleh setiap individu dalam kehidupan supaya hati sentiasa hidup dan segar dengan berkat dan rahmat yang pasti diterima.

 

Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca, malah ditadabbur dalam kehidupan.

 

Membaca al-Quran tanpa memahami maksud tetap diberikan ganjaran pahala.

 

Namun, membaca al-Quran dengan bertadabbur jauh lebih baik berbanding membaca sahaja. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags