Harga turun: Rafizi dilihat kurang peka - Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 28 January 2023

Harga turun: Rafizi dilihat kurang peka - Nanyang Siang Pao

25 - 27 Jan 2023

 

 

 

SETIAP kali berlakunya kekurangan sesuatu barang atau peningkatan harga, kerajaan di mana-mana negara pasti akan segera atau terpaksa campur tangan atas desakan rakyat.

 

Biasanya perkara pertama yang akan dilakukan oleh kerajaan adalah menerusi ‘kawalan harga’.

 

Apabila kerajaan menggunakan kuasa untuk menekan secara paksa, mahu tidak mahu perniagaan terpaksa akur dan patuh untuk menurunkan harga.

 

Namun setelah sekian lama dilaksanakan kawalan harga, adakah kerajaan benar-benar mampu untuk menurunkan harga barangan? Dan siapa yang akan rugi selepas kerajaan menurunkan harga?

 

Permintaan dan penawaran

Hubungan antara penawaran dan permintaan dalam ekonomi telah menjelaskan apabila permintaan meningkat dan penawaran tidak dapat memenuhinya, maka secara semula jadi harga akan meningkat.

 

Sebaliknya apabila permintaan kurang maka harga secara semula jadi akan menurun.

 

Apakah yang akan berlaku sekiranya kerajaan terpaksa menurunkan harga?

 

 

apa

 

 

Sekiranya perniagaan masih boleh mendapat keuntungan meskipun harga turun, ini bermakna bekalan di pasaran tidak berkurangan.

 

Bagaimanapun, keadaan ini akan menyingkirkan perniagaan yang mempunyai masalah kos tinggi.

 

Apabila bekalan di pasaran berkurangan tetapi permintaannya adalah tinggi, menjadikan tekanan kenaikan harga menjadi semakin tinggi.

 

Ini kerana kerajaan akan menetapkan harga siling mati yang akan mengambil masa lama untuk pengemaskinian.

 

Oleh itu, apabila harga bahan mentah sangat tinggi, perniagaan akan merasakan ia tidak berbaloi dan mengambil keputusan menghentikan pengeluarannya. Langkah yang diambil ini adalah berdasarkan pengiraan kos mereka.

 

Kerugian kos dalam pelbagai bentuk

Sebaliknya, walaupun ada segelintir peniaga yang sanggup menanggung kerugian, ia pasti akan membawa kepada gelombang pembelian.

 

Pengguna akan beralih daripada persaingan harga kepada bentuk persaingan lain seperti menghabiskan masa untuk beratur membeli.

 

Dalam hal ini, pengguna sebenarnya yang rugi. Cuma kebanyakan pengguna tidak menyedarinya kerana mereka jarang mengambil berat tentang kos masa.

 

 

apa

 

 

Apa yang mereka lihat dan faham adalah selepas kenaikan harga, maka barang yang dibeli akan menjadi lebih mahal tanpa melihat faktor kerugian yang lain.

 

Kenaikan kos adalah berantai

Di sebalik kenaikan harga runcit, sebenarnya ia didorong oleh kesan serentak daripada pelbagai faktor.

 

Meskipun kos salah satu faktor menurun tetapi kos faktor lain meningkat, adalah mustahil untuk menurunkan harga runcit.

 

Begitu juga peniaga pasti akan mempertimbangkan beban kos yang terpaksa ditanggung dan pada masa sama juga mahu memperolehi keuntungan yang berpatutan.

 

Sebagai contoh industri katering atau restoran. Pengusaha memerlukan modal; sumber manusia; ramuan makanan; minyak masak; bahan mentah; logistik; bil air dan elektrik; sewa; meja kerusi, dan pelbagai peralatan dapur. Ini adalah elemen ekonomi yang sangat diperlukan untuk menjalankan perniagaan restoran.

 

 

apa

 

 

Sekiranya kos semua elemen ekonomi meningkat bersama-sama membentuk inflasi, industri katering pasti akan menyalurkan kos tumpang tindih pelbagai faktor kepada pengguna. Akibatnya harga makanan dan minuman akan meningkat.

 

Boikot bukan penyelesaian

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa bahawa harga beberapa bahan mentah telah diturunkan secara beransur-ansur.

 

Namun beberapa pengusaha restoran masih enggan menurunkan harga makanan. Justeru itu, beliau telah menyeru orang ramai agar memulau restoran yang enggan menurunkan harga.

 

Kenyataan tersebut telah menimbulkan kemarahan beberapa restoran di Kuala Lumpur dan mengkritik menteri tidak melihat keseluruhan gambaran kejadian.

 

Sebuah restoran menyindir Rafizi di media sosial sela tiga hari berturut-turut, “mana harga bahan mentah yang dikatakan turun? Bahan mentah yang kami beli sangat mahal. Kami menunggu yang berhormat memberi caranya untuk membeli bahan mentah pada harga yang rendah!”

 

Ada juga peniaga yang mendakwa meskipun ayam dijual pada harga RM9.20 sekilogram, namun harga ikan, sayur-sayuran dan barangan kering lain semakin melambung tinggi.

 

Rafizi juga harus mengambil kira gaji minimum untuk pekerja. Harus melihat keseluruhan situasi yang dihadapi industri, bukan hanya mengambil berat harga bahan mentah.

 

 

apa

 

 

Rafizi kurang peka

Dalam hal ini, Rafizi yang menjaga Kementerian Ekonomi dilihat kurang peka. Walaupun harga bahan mentah telah dikurangkan, kos operasi lain masih lagi tinggi.

 

Bagaimana industri boleh menampung kos dan pada masa sama menurunkan harga?

 

Kerajaan perlu menyelesaikan kenaikan harga dan membendung inflasi dengan berkesan dan bukannya meminta rakyat untuk memboikot.

 

Sebelum ini, Rafizi juga ada menyarankan orang ramai pergi ke kedai kopi biasa jika harga kopi berjenama mahal. Mungkin ada sebilangan yang memahami saranan Rafizi, iaitu berbelanja mengikut kemampuan dan bukannya mengejar cita rasa hidup yang tinggi.

 

Rafizi juga mungkin beranggapan bahawa semua orang harus bijak sepertinya iaitu menonjol dalam persekitaran yang sangat kompetitif.

 

Walaupun rakyat faham ada perkara yang tidak dapat dipulihkan dalam masa singkat, sekurang-kurangnya kata pujukan kerajaan dan pemimpin politik dapat meredakan kerisauan.

 

 

apa

 

 

Mungkin Rafizi perlu belajar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimana beliau meneruskan perjalanan politiknya sehingga kini menjadi seorang pemimpin yang disayangi.

 

Sekurang-kurangnya setelah menjadi PM, kata-kata Anwar membuatkan rakyat rasa selesa dan terjaga. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 25-27 Januari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags