Glomac akan lancar lebih banyak projek baharu pada separuh kedua FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Glomac akan lancar lebih banyak projek baharu pada separuh kedua FY23 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Dis - Pelancaran lebih banyak projek baharu pada tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23) terutama pada separuh kedua membolehkan Glomac Bhd. mencapai sasaran jualan sebanyak RM321 juta, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

 

Antara pelancaran baharu itu termasuklah GreenTec Puchong, Fasa 4B Saujana KLIA dan Rumah Selangorku di Lakeside Residences.

 

Menurut firma itu, pelancaran baharu itu dijangka meningkatkan pertumbuhan hasil kumpulan sebanyak 7% pada FY24.

 

Katanya, pada separuh pertama FY23, Glomac memperoleh jualan baharu bernilai RM106 juta, dan hanya mencapai kira-kira 33% daripada sasarannya pada FY23.

 

"Kami difahamkan daripada pihak pengurusan bahawa momentum jualan kumpulan biasanya lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan. 

 

"Sementara itu, jualan Glomac akan terus disokong oleh pelancaran yang dirancang bernilai RM510 juta pada separuh kedua FY23 dan ini menunjukkan kumpulan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan bagi FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada separuh pertama berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih teras Glomac meningkat 28% tahun ke tahun manakala pendapatan berkembang 38% tahun ke tahun. 

 

Peningkatan ini disumbangkan terutamanya daripada pertumbuhan pembangunan hartanah yang lebih kukuh meningkat 39% tahun ke tahun.

 

Bagi tempoh itu, ia merekodkan jualan hartanah yang lebih tinggi di samping kemajuan kerja-kerja tapak yang berjalan lancar didorong pembukaan semula ekonomi.

 

AmInvestment mendapati setakat 31 Oktober 2022, paras inventori tidak terjual Glomac susut 3% suku ke suku kepada RM93 juta.

 

"Dalam tempoh 4 tahun ini, paras inventori tidak terjual ini semakin menunjukkan trend penurunan," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Glomac dengan nilai wajar tidak berubah pada 37 sen sesaham.

 

Setakat 11.48 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 31.5 sen dengan 177,500 saham diniagakan. - DagangNews.com