Ecomate cadang pindah penyenaraian ke Papan Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ecomate cadang pindah penyenaraian ke Papan Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Ecomate Holdings Berhad bercadang untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Papan Utama Bursa Malaysia. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, cadangan itu membabitkan pemindahan penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan kumpulan. 

 

Menurutnya, kumpulan dan anak-anak syarikatnya telah memenuhi keperluan pemindahan dalam Garis Panduan Ekuiti yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.

 

Setakat 7 Februari 2023, modal saham terbitan Ecomate berjumlah RM29.2 juta terdiri daripada 358 juta saham biasa.

 

"Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan yang diperoleh, cadangan itu dijangka dapat diselesaikan pada suku ketiga 2023," katanya dalam makluman itu hari ini.

 

Cadangan pemindahan penyenaraian itu akan menjadi pencapaian penting kepada kumpulan selepas disenaraikan di Pasaran ACE pada 8 November 2021.

 

Menurutnya, pasaran modal syarikat setakat ini mencecah hampir RM256 juta, berkembang daripada RM115.5 juta sejak disenaraikan di Pasaran ACE.

 

Dalam hal ini, katanya, lembaga pengarah yakin cadangan pemindahan penyenaraian ini akan meningkatkan kredibiliti, prestij dan reputasi syarikat.

 

"Ini dapat memberikan pengiktirafan dan penerimaan yang lebih tinggi dalam kalangan pelabur, khususnya pelabur institusi, selain mencerminkan skala operasi semasa kumpulan, sekali gus  meningkatkan daya tarikan dan kebolehpasaran saham Ecomate.

 

"Di samping itu, cadangan ini juga dijangka meningkatkan keyakinan pelanggan, pembekal, rakan perniagaan, pekerja dan pemegang saham kumpulan melalui profilnya sebagai syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama," katanya.

 

Langkah tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan dan pemegangan utama saham kumpulan termasuk aset bersih sesaham, penggearan, pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan.

 

M & A Securities Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai Penasihat Utama bagi cadangan berkenaan. - DagangNews.com