Columbia Asia buka pusat kanser pertamanya di Bukit Rimau | DagangNews Skip to main content

Columbia Asia buka pusat kanser pertamanya di Bukit Rimau

Orang ramai mendengar penerangan Mohd Khairul Mohd Zambri, Pengurus Radioterapi mengenai unit radioterapi di Pusat Kanser Columbia Asia.

SHAH ALAM 5 Okt - Kumpulan Hospital Columbia Asia dengan bangganya mengumumkan pelancaran pusat kanser pertamanya di Bukit Rimau dan serentak dengan itu, Columbia Asia memperkenalkan Breaking Barriers, sebuah inisiatif yang akan membawa perubahan kepada landskap penjagaan kanser di Malaysia.

 

Inisiatif ini merupakan suatu pendekatan holistik terhadap rawatan kanser yang membabitkan tiga jurang utama: pencegahan kanser, bimbingan untuk pesakit kanser dan sokongan untuk pesakit kanser.

 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sebanyak 48,639 kes kanser direkodkan di Malaysia pada tahun 2020. Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2012 – 2016 menunjukkan peningkatan 11% untuk kes kanser baru dan 30% lebih kematian akibat kanser berbanding laporan 2007 – 2011. Trend yang meningkat ini mendedahkan betapa perlunya akses terhadap penjagaan berkualiti bagi pesakit kanser. 

 

Dengan pelancaran pusat kanser tersebut, Columbia Asia berazam untuk menangani tiga jurang utama berkaitan kanser sekali gus meningkatkan akses penjagaan pesakit kanser di kalangan rakyat Malaysia.


 

columbia
Dari kiri, Dr. Rama Krishna Kumar Krishnamurthy, Dr. Chan Boon Kheng, Dr Habibah Abdul Halim, Lee Hui Chuen, Dr. Jayendran Dharmaratnam dan Dr Kananathan Ratnavelu pada majlis pelancaran Pusat Kanser Bukit Rimau-Columbia Asia baru-baru ini.

 


Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Columbia Asia, Dr. Chan Boon Kheng berkata, penjagaan pesakit kanser memerlukan pendekatan holistik dan kepelbagaian disiplin.

 

"Harapan kami agar pusat kanser baharu ini membolehkan penjagaan kanser integratif berkualiti tinggi lebih mudah diakses,” ujar beliau pada majlis pelancaran pusat kanser tersebut.

 

“Kanser merupakan diagnosis yang pasti mengubah kehidupan seseorang. Ia memberi impak pada setiap sudut kehidupan: fizikal, mental dan emosi.

 

"Kami faham bahawa rawatan kanser tidak hanya terhad kepada ubat-ubatan. Dengan memperkenalkan pendekatan integratif, kami dapat merancang rawatan khusus untuk setiap pesakit, melalui gabungan inovasi klinikal dan penjagaan tertumpu kepada individu. Kami yakin bahawa kami menyediakan rawatan kanser berkualiti yang terbaik,” ujarnya.

 

Turut hadir pada majlis pembukaan tersebut ialah Dr. Rama Krishna Kumar Krishnamurthy, Perunding O&G merangkap Ketua Perkhidmatan Perubatan Bukit Rimau-Hospital Columbia Asia; Dr Habibah Abdul Halim, Pakar Perunding Perubatan Dalaman & Pakar Hematologi dan Dr. Jayendran Dharmaratnam, Pakar Perunding Onkologi Klinikal merangkap Ketua Pusat Kanser Columbia Asia.

 

Pusat kanser tersebut menawarkan saringan kanser & diagnostik, pilihan rawatan individual, penjagaan selepas rawatan, program rehabilitasi kanser, penjagaan paliatif, konsultasi diet, penjagaan khas pelbagai disiplin, pengurusan kesakitan, penjagaan di rumah, sokongan berkumpulan antara pesakit, serta ujian klinikal.

 

Pusat kanser tersebut juga dilengkapi peralatan serta kepakaran yang terdiri dari perunding dan pakar onkologi yang disokong oleh pasukan radioterapi, unit kemoterapi, pasukan pengalaman pesakit, pakar prosedur, jururawat onkologi dan pakar diet.

 

Unit radioterapi dilengkapi mesin ‘linear accelerator’ terbaru yang sofistikated, Elekta Versa HD. Mesin ini berupaya memberikan sasaran tepat walaupun ketumbuhan sangat kecil dan terletak di bahagian yang tidak dapat dirawat sebelum ini. Tisu-tisu berdekatan tidak akan terkena tempias rawatan ini, sekali gus mengurangkan kesan-kesan sampingan. 

 

Unit Penjagaan Harian Kemoterapi menyediakan pelbagai terapi sistemik, termasuk kemoterapi, terapi tersasar, imunoterapi dan terapi berasaskan sel untuk kanser hematologi yang pejal. Ini dijalankan dalam suasana moden yang direka untuk keselesaan dan kesejahteraan pesakit. Klinik-klinik pakar pula bersebelahan unit kanser untuk memudahkan interaksi antara doktor dan pesakit. 

 

Pengurus Besar Serantau Hospital Columbia Asia Bukit Rimau, Petaling Jaya, dan Seremban, Lee Hui Chuen berkata, pihaknya mahu lebih ramai rakyat Malaysia memahami bahawa diagnosis kanser bukan bermakna kehidupan berakhir.

 

"Setiap hari, terdapat pelbagai pilihan penjagaan, pencegahan, rawatan, penyembuhan, dan peningkatan kualiti hidup pesakit kanser dan keluarga mereka,” ujar beliau.

 

“Kami membayangkan pusat kanser baharu ini sebagai langkah pertama untuk mengubah cara kita berfikir dan berbincang mengenai kanser. Inilah faktor kami melancarkan inisiatif Breaking Barriers hari ini,” jelas beliau.

 

Breaking Barriers adalah inisiatif penjagaan pesakit kanser berpandukan tiga langkah. Inisiatif ini direka oleh Columbia Asia untuk mengetengahkan tiga jurang penjagaan utama. Inisiatif tersebut menjana lebih bantuan kepada pesakit dari segi pencegahan kanser, membimbing mereka menangani kanser dan menyediakan sokongan serta keperluan mereka yang sedang bertarung dengan kanser.

 

Projek pertama di bawah Breaking Barriers ialah kempen #ClockOut2CheckUp. Dengan kesedaran bahawa pengesanan lewat merupakan antara jurang terbesar dalam penjagaan kanser, kempen ini bertujuan memotivasikan rakyat Malaysia untuk ambil peduli kesihatan mereka dan mula membiasakan diri untuk melakukan saringan kanser berkala.  

 

Columbia Asia Hospital – Bukit Rimau menjadi perintis dengan menawarkan para pekerjanya peluang menjalani saringan kanser percuma. Sebagai ganjaran, mereka diberikan satu hari cuti bekerja! Seramai 275 pekerja menyahut cabaran tersebut. Kini, hospital itu menawarkan lebih 1,000 saringan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai inisiatif ini. 


 

Columbia Asia percaya budaya dalam sesebuah syarikat mampu membentuk para pekerja menjadi lebih produktif, sekali gus meningkatkan prestasi syarikat. Justeru, mereka amat menggalakkan syarikat-syarikat di Malaysia menyertai barisan hadapan dalam anjakan budaya ini.

 

Cabaran Korporat ClockOut2CheckUp akan bermula sekarang sehingga 31 Oktober 2022. Mana-mana syarikat perniagaan atau korporat di Malaysia yang berminat boleh mendaftar di [www.columbiaasia.com/ClockOut2CheckUp]. Hospital tersebut juga akan menawarkan 200 saringan kanser kepada orang awam bermula 1 Oktober 2022. 

 

“Inisiatif Breaking Barriers yang dipelopori Columbia Asia Hospital – Bukit Rimau merupakan satu perubahan besar dalam mengubah persepsi berkenaan kanser,” jelas Dr. Kananathan Ratnavelu, Perunding Perubatan Onkologi.

 

“Memerangi kanser bukan bermula selepas diagnosis tetapi pada peringkat pencegahan dan pengesanan awal. Antara sebab biasa yang didengari daripada pesakit yang menunda saringan adalah kerana bimbang akan keputusan yang bakal diterima.

 

"Dengan memudahkan akses saringan kanser berkala dan menggalakkan kekerapan mereka menjalani pemeriksaan ini, usaha ini amat berpotensi membantu mengesan banyak kes lebih awal, jadi pesakit berpeluang sembuh sepenuhnya,” katanya.

 

Bagi meneruskan usaha meningkatkan tahap kesedaran kanser, Columbia Asia Hospital – Bukit Rimau bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) dan CANSURVIVE.

 

Tambahan lagi, sebagai sebahagian inisiatif Columbia Asia Hospital – Bukit Rimau, pusat kanser tersebut turut menawarkan pakej istimewa kepada pesakit yang dirujuk dari hospital kerajaan.

 

Disebabkan senarai panjang pesakit kanser hospital kerajaan yang menunggu rawatan, tawaran Columbia Asia ini akan mempercepatkan rawatan kanser kepada pesakit tanpa sebarang penangguhan. - DagangNews.com