Cisco komited lengkapkan 141,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran digital dalam tempoh 10 tahun | DagangNews Skip to main content

Cisco komited lengkapkan 141,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran digital dalam tempoh 10 tahun

Hana Raja
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Peneraju teknologi global, Cisco mengumumkan komitmennya untuk melengkapkan 141,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran digital untuk pekerjaan berpermintaan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

Usaha tersebut bakal direalisasikan menerusi program tanggungjawab sosial korporat utamanya, Cisco Networking Academy bagi membangunkan tenaga kerja yang saksama dan inklusif untuk negara. 

 

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja menekankan kepentingan merapatkan jurang antara kemahiran dan pekerjaan di Malaysia, serta mewujudkan akses inklusif untuk populasinya menyertai landskap digital yang berkembang pesat ketika negara berusaha memperkukuh ekonomi digitalnya. 

 

“Di Cisco, kami sentiasa yakin akan kuasa kerjasama awam-swasta untuk membuka luas potensi digitalisasi. Cisco Networking Academy yang berada di Malaysia selama 23 tahun telah melatih lebih 129,000 pelajar di sini sejak penubuhannya, dengan 419 tenaga pengajar aktif hari ini. 

 

"Komitmen kami untuk melengkapkan 141,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran digital yang relevan mencerminkan potensi yang kami lihat di negara ini serta azam untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dalam ekosistem bagi memacu ekonomi digital Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Naib Presiden Kanan dan Pegawai Inovasi Global Cisco, Guy Diedrich pula berkata, teknologi telah memainkan peranan yang tidak pernah dibayangkan sejak dua tahun lalu dalam hampir setiap aspek kehidupan hari ini. 

 

"Sebagai peneraju teknologi global yang menguasakan internet, kami berazam memacu masa hadapan yang inklusif untuk semua dengan merapatkan jurang digital serta melatih, meningkatkan kemahiran dan melatih semula populasi sedia ada, serta memastikan semua orang mendapat manfaat daripada ekonomi digital yang berkembang pesat. 

 

"Kami amat berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai di Malaysia, dan teruja untuk meneruskan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dengan rakan kongsi, pendidik, kerajaan dan pertubuhan bukan untung kami pada masa hadapan," katanya. 

 

Cisco Networking Academy merupakan satu program ‘kemahiran-ke-pekerjaan’ yang paling lama seumpamanya di dunia, yang menawarkan pendidikan teknologi menerusi kerjasama awam-swasta yang kukuh, kurikulum berkualiti tinggi dan program pembangunan tenaga kerja yang inklusif. 

 

Selain itu, ia merupakan satu program pembelajaran berasaskan tujuan dan kemahiran digital yang paling lama di dunia. Di peringkat global, program ini telah mencapai 17.5 juta pelajar di 190 negara. 

 

Sejak penubuhannya pada 1999 di Malaysia, program ini telah melatih lebih 129,000 pelajar melalui 119 kerjasama dengan agensi kerajaan Kementerian Pengajian Tinggi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan pertubuhan akademik seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, dan Universiti Malaysia Pahang dan sebagainya. - DagangNews.com