CGS-CIMB unjur pertumbuhan untung bersih Bursa Malaysia sebanyak 5.5% pada FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur pertumbuhan untung bersih Bursa Malaysia sebanyak 5.5% pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan pemulihan dalam pertumbuhan untung bersih Bursa Malaysia Berhad sebanyak 5.5% pada FY23 berbanding penurunan 36.3% pada FY22.

 

Firma itu berkata, unjuran itu sebahagian dipacu oleh ketiadaan Cukai Makmur yang dkenakan pada FY22.

 

Firma itu juga menjangkakan perkembangan sederhana sebanyak 3.6% bagi pendapatan ekuiti (disokong oleh peningkatan jumlah dagangan purata harian (ADTV) sebanyak 4.8%) dan peningkatan 5.7% pendapatan deriviatif untuk Bursa Malaysia pada FY23.

 

Mereka juga positif bahawa ekuiti ADTV meningkat 19.4% dari suku tahun ke suku tahun pada 4QFY22 selepas berlaku kemerosotan antara 18% hingga 24% dalam dua suku sebelumnya.

 

Katanya, pemulihan pertumbuhan ekuiti ADTV membawa kepada penguncupan dari tahun ke tahun yang lebih kecil sebanyak 23.6% pada 4QFY22, berbanding penurunan 40% hingga 50% dalam lima suku sebelumnya (dari 3QFY21 hingga 3QFY22).

 

"Dalam tempoh satu ke dua tahun akan datang, hasil pendapatan Bursa Malaysia akan terus diperoleh daripada perniagaan sedia ada iaitu ekuiti dan deriviatif.

 

"Dijangkakan hasil daripada Bursa Carbon Exchange adalah minimum untuk jangka masa pendek sementara menunggu mereka mengembangkan pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bursa Malaysia juga mendedahkan bahawa sasaran pendapatan bagi FY23 mereka adalah selaras dengan unjuran firma itu.

 

Katanya, ia termasuk keuntungan sebelum cukai antara RM295 juta hingga RM362 juta (berbanding ramalan mereka sebanyak RM318.3 juta) dan pertumbuhan antara 5% hingga 7% dalam hasil bukan dagangan (berbanding ramalan 6.5%).

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM6.60 sesaham. - DagangNews.com