BNM : Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$114.65 bilion setakat akhir Dis 2022 | DagangNews Skip to main content

BNM : Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$114.65 bilion setakat akhir Dis 2022

KUALA LUMPUR 31 Jan - Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$114.65 bilion setakat akhir Disember 2022 manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$5.4 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Bank pusat berkata, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah AS$16.94 bilion.

 

“Kedudukan jualan hadapan adalah sebanyak AS$26.39 bilion pada Disember 2022, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut BNM, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

 

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.25 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

Bank pusat menjelaskan, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$378.5 juta.

 

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

 

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

 

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Disember 2022 tetap boleh guna. - DagangNews.com