Skip to main content

Biro Pencegah Penipuan Kebangsaan CTOS IDGuard, selamatkan institusi kewangan sebanyak RM193 juta daripada cubaan penipuan permohonan kredit

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Okt – Setelah menyaring lebih 4.2 juta permohonan dalam tempoh 24 bulan pertama pengoperasiannya, CTOS IDGuard iaitu biro pencegah permohonan penipuan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, telah mengesan dan mencegah permohonan kredit palsu berjumlah RM193 juta dalam angka terkini yang dikeluarkan pada hari ini.

 

Sepanjang dua tahun ini Malaysia telah menyaksikan pertambahan perkhidmatan dalam talian yang memberikan kemudahan kepada para pelanggan untuk memohon produk kewangan secara digital.

 

Kemudahan ini telah meningkatkan risiko dalam perkhidmatan kewangan kerana pengesahan biometrik secara bersemuka tidak lagi dapat dilakukan secara dalam talian.

 

Selain daripada langkah penyelesaian digital lain yang membantu teknologi kewangan (fintech) seperti pelaksanaan CTOS eKYC untuk pengesahan identiti pelanggan secara digital, CTOS IDGuard memberi perlindungan tambahan kepada sebarang potensi penipuan.

 

Biro pencegah penipuan berfungsi melalui pengimbasan permohonan kredit masa nyata dan menyemak pangkalan data CTOS yang luas serta menyemak setiap permohonan yang dibuat melalui semua bank rakan kongsi yang berada di dalam sistem.

 

Dengan penambahan analisis dan pembelajaran mesin, CTOS IDGuard adalah system yang berada dalam posisi yang terbaik untuk mengenal pasti sebarang tindakan potensi penipuan untuk dimaklumkan kepada rakan perbankan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, sebagai biro pencegahan penipuan yang pertama di rantau ini, CTOS IDGuard menjadi perintis dalam memerangi penipuan permohonan kredit melalui data, analisis dan inovasi menerusi pembelajaran mesin.

 

Menurut beliau, buat masa sekarang penyedia kredit yang menggunakan CTOS IDGuard untuk mengimbas permohonan memegang lebih daripada dua pertiga daripada jumlah aset perbankan di Malaysia.

 

"Dengan akses kepada data masa nyata, tepat dan dikongsi, kami memperkasakan insitusi kewangan untuk mengecam sebarang permohonan penipuan dengan serta-merta supaya pengguna yang layak mendapat kelulusan dengan secepat dan semurah mungkin,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kini, CTOS IDGuard digunakan oleh institusi-institusi kewangan utama di Malaysia termasuklah Maybank, RHB, CIMB, Aliance Bank, Hong Leong Bank, AmBank dan Servis Kewangan BMW.

 

ctos

 

Sementara itu, terdapat bank-bank yang sedang mengguna pakai sistem tersebut dan institusi kewangan utama yang lain juga turut menunjukkan minat terhadap sistem CTOS IDGuard.

 

CTOS IDGuard menggunakan enjin pencegahan jenayah kewangan dan penipuan yang terkemuka dalam industri GBG. Sistem ini kerap menjalani pembaharuan seperti pembelajaran mesin, yang akan disertakan tidak lama lagi, dengan tujuan untuk meningkatkan keberkesanan sistem dalam ketepatan mengesan penipuan, menurunkan kadar positif palsu dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Pengarah Urusan APAC GBG, Dev Chiman berkata, matlamat pembelajaran mesin adalah untuk menghasilkan kepintaran tindakan yang boleh diambil daripada data lama dan data baru masa nyata, mendedahkan kelakuan tidak konsisten yang tersirat dan mengesan anomali untuk mencegah senario berpotensi penipuan dengan segera.

 

Menurutnya, pembelajaran Mesin beranugerah GBG berkebolehan membantu insitusi kewangan meningkatkan dua proses asas – pengurusan pengalaman pelanggan dan pencegahan jenayah kewangan.

 

"Menurunkan kadar positif palsu bukan sahaja untuk menggaris arus proses dan kos dalaman, tetapi untuk membolehkan penerimaan masuk pelanggan yang sah dan membolehkan mereka terus berurus niaga dengan berjaya,” kata beliau.

 

Sepanjang dua tahun ini, CTOS IDGuard telah menemui 4.2% permohonan gadai janji yang berpotensi palsu dan mencurigakan iaitu kadar amaran tertinggi antara semua kategori permohonan. Amaran ini seterusnya diikuti oleh amaran permohonan pinjaman peribadi pada 1.8%, permohonan kad kredit (1.3%), permohonan pinjaman kenderaan (0.9%), pinjaman SME (0.7%) dan permohonan-permohonan lain (0.5%).

 

Dalam keseluruhan jumlah kes yang disahkan, sebahagian besar daripadanya adalah permohonan kad kredit yang menyumbang kepada 44% penipuan sah yang diketahui dan permohonan yang mencurigakan.

 

Menariknya, satu pertiga daripada keseluruhan kes yang sah itu adalah disebabkan oleh permohonan yang dibuat oleh sindiket atau penipu yang telah diketahui.

 

CTOS IDGuard dapat mengecam sindiket dan penipu tersebut dengan menggunakan data rakan kongsi yang telah dianalisis oleh biro penipuan. - DagangNews.com