Bersediakah kita untuk pilihan raya secara dalam talian? | DagangNews Skip to main content

Bersediakah kita untuk pilihan raya secara dalam talian?

Oleh Dr. Ahmad Wiraputra Selamat, PhD

SABTU ini, 19 November 2022, semua rakyat Malaysia yang layak mengundi, akan melaksanakan tugas mengikut sistem demokrasi negara untuk memilih badan eksekutif.

 

Di sebalik poster, manifesto, ceramah dan rapat umum yang mewarnai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kita turut dilontarkan dengan persoalan tentang kebarangkalian bencana sewaktu pilihanraya, kesukaran melaksanakan tanggungjawab mengundi selain kurangnya motivasi sekaligus menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

 

Antara rumusan yang sering dicanang sejak beberapa tahun ini adalah undi pos serta pengundian elektronik (e-undi).

 

Secara umumnya e-undi adalah kaedah membuang atau mengira undi yang dilaksanakan secara berkomputer, sama ada dalam atau luar talian.

 

Cadangan tersebut semakin diterima sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 dalam usaha menjadikan demokrasi tetap subur walaupun dengan penjarakan fizikal.

 

Ia telah diaplikasikan secara meluas di peringkat global dalam pelbagai proses pengundian berskala kecil seperti pemilihan ahli majlis tempatan, pimpinan peringkat negeri, perwakilan pelajar di universiti dan pemilihan jawatankuasa parti politik.

 

Namun pada skala yang lebih besar, hanya beberapa negara seperti Estonia, Filipina, India dan Brazil yang berani mengaplikasi teknologi ini sepenuhnya dalam pilihanraya umum mereka.

 

 

Dr. AHMAD WIRAPUTRA BIN SELAMAT
                    DR. AHMAD WIRAPUTRA BIN SELAMAT

 

 

Di Malaysia, usaha ke arah pelaksanaan e-undi telah banyak dibincangkan oleh kerajaan seiring dengan komitmen Transformasi Digital.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pernah mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pelbagai kaedah lain termasuk pengundian dalam talian bagi usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.

 

Pengundian elektronik tingkatkan kecekapan, selesaikan isu undi rosak

Sepintas lalu, e-undi mempunyai banyak kelebihan seperti meningkatkan kecekapan semasa proses pengundian, menjimatkan kos melibatkan kertas undi dan penyediaan tempat mengundi, mengurangkan kesilapan manusia dalam pengiraan sekaligus menjimatkan masa dan tenaga.

 

Dengan bilangan pengundi dalam negara melebihi angka 21 juta, SPR menganggarkan kos PRU15 mencecah RM1 bilion atau sekitar RM50 untuk seorang pengundi.

 

Sebagai perbandingan, pilihanraya umum berasaskan Internet di Estonia (iVoting) hanya memerlukan kos sekitar €2.32 Euro (RM10.50) untuk seorang pengundi (Krimmer, 2018).

 

Selain itu, e-undi juga memberi lebih fleksibiliti kepada pemilih selain menyelesaikan isu undi rosak secara menyeluruh.

 

Ini secara tidak langsung menggalakkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka seperti dibuktikan di India apabila teknologi Electronic Voting Machine (EVM) yang digunakan berjaya meningkatkan peratusan keluar mengundi sehingga 67%, satu angka yang sangat besar bagi negara dengan 900 juta pengundi.

 

 

upsi

 

 

Optimumkan keselamatan kerahsiaan daripada diceroboh penggodam, bantu tingkatkan kepercayaan pengundi

Namun di sebalik kelebihan yang dinyatakan, e-undi turut disulami kegusaran berkaitan kebolehpercayaan dan tahap kerahsiaan.

 

Ia disokong oleh pakar sains komputer Dr. Steve Kremer dari French Institute for Research in Computer Science and Automation yang menyatakan sifat e-undi adalah berbeza dengan aplikasi elektronik yang lain seperti e-perbankan, e-dagang atau e-pembelajaran.

 

Mengambil e-perbankan sebagai contoh, sekiranya maklumat akaun pengguna digodam atau diubah, ia hanya memberi kesan kepada akaun pengguna terbabit dan tidak kepada akaun lain.

 

Berbeza halnya pula dengan e-undi yang mana perubahan satu undi yang digodam akan memberi kesan terhadap jumlah keseluruhan undi, sesuatu yang pasti mengikis terus kepercayaan terhadap keputusan pengundian.

 

Seperkara lagi yang lebih kritikal adalah e-undi memerlukan keseimbangan antara ketelusan dan kerahsiaan.

 

Mengambil kembali senario e-perbankan, pengguna umumnya sedia untuk berkongsi segala maklumat akaun dengan pihak bank, sekaligus memudahkan banyak urusan termasuk dalam kes pencerobohan dan keselamatan.

 

Ia berbeza dengan e-undi yang mana pemilih tentunya enggan berkongsi maklumat pengundian dengan mana-mana pihak atas dasar undi adalah rahsia, sesuatu yang amat rumit untuk dilaksanakan.

 

 

parafrasa

 

 

Selain itu, isu kebolehpercayaan dan integriti sistem dan pangkalan data berpusat juga mengundang kritikan seperti yang berlaku kepada sistem e-undi di Estonia, apabila beberapa kumpulan pakar keselamatan siber menyatakan sistem tersebut boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan pada tahun 2014.

 

Tambahan lagi, e-undi yang dibuat dalam persekitaran tanpa kawalan seperti pengundian internet melalui telefon pintar boleh membuka kepada pengaruh ekstrem sesetengah pihak sewaktu mengundi sekaligus mewujudkan persekitaran yang tidak neutral.

 

Walau apa jua isu yang timbul, pasti akan muncul teknologi baharu untuk mendatangkan penyelesaian.

 

Antaranya adalah teknologi blockchain atas faktor datanya yang berantai antara blok sebelum dan selepas serta tidak berpusat, berbeza dengan konsep pangkalan data tradisional yang berpusat serta ditadbir oleh satu pihak.

 

Faktor ini menjadikannya hampir mustahil untuk diubahsuai oleh pihak lain, sekaligus menjamin kerahsiaan dan ketelusan data yang menjadi elemen terpenting sebuah pilihanraya.

 

Sebagaimana sistem sedia ada, e-undi perlu terlebih dahulu membuktikan ianya boleh dipercayai oleh pengundi seperti pelaksanaan audit berterusan.

 

Sebuah kumpulan pakar dan bebas juga perlu ditubuhkan bagi memantau kod sumber bagi mengenal pasti sebarang kelompangan dan kelemahan sistem e-undi.

 

 

parafrasa

 

 

Selain itu, pengundi secara keseluruhannya perlu mendapat kesedaran dan pendedahan terhadap teknologi IT secukupnya bagi memastikan mereka boleh mengendalikan sendiri proses ini tanpa bantuan pihak kedua.

 

Kejayaan Estonia dalam e-undi banyak didorong oleh sikap rakyatnya yang tech-savvy serta memberi dokongan penuh terhadap apa jua pembaharuan dalam urus-tadbir yang berorientasikan teknologi.

 

SPR juga dicadang untuk mengambil melangkah seterusnya iaitu pengujian terhadap sistem e-undi tetapi pada skala yang lebih kecil seperti pilihan raya kecil.

 

Ia bukan sahaja memperkenalkan kaedah baharu ini kepada rakyat, tetapi sebagai pengujian terhadap pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

parafrasa

 

Apa pun kesiapsiagaan kita terhadap pengundian elektronik bukan hanya bergantung terhadap teknologi, sebaliknya mengambil kira kesedaran rakyat di samping tidak melangkaui garis perlembagaan.

 

Mengambil semangat Dasar IR 4.0 yang menjadi komitmen kerajaan, kita pastinya perlu berani mengambil semua pendekatan berorientasi teknologi dalam menuju sebuah negara tekno-demokrasi yang adil, telus dan berperlembagaan. – DagangNews.com

 

Dr. AHMAD WIRAPUTRA BIN SELAMAT adalah Pegawai Teknologi Maklumat Kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak