Bajet 2023: Pengecualian duti setem bagi rumah lebih RM500,00 dinaikkan kepada 75% sehingga 31 Dis 2023 | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Pengecualian duti setem bagi rumah lebih RM500,00 dinaikkan kepada 75% sehingga 31 Dis 2023

KUALA  LUMPUR 7 Okt - Pengecualian bayaran duti setem bagi urusan surat cara pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman bagi rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta, akan dinaikkan daripada 50 kepada 75% sehingga 31 Disember 2023.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai contoh, pengecualian 100% atas pembelian rumah bernilai RM300,000 bakal menjimatkan RM6,500 sementara pengecualian 75% atas pembelian rumah RM750,000 bakal menjimatkan wang rakyat sebanyak RM15,000.

 

Pada masa ini ujar beliau, pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik harta tanah antara suami isteri tetapi hanya 50% antara ibu bapa dan anak.

 

"Memandangkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak tidak mungkin lah separuh, Kerajaan bercadang mulai tahun 2023, semua pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang antara keluarga seperti daripada suami kepada isteri, bapa kepada anak atau datuk kepada cucu hanya dikenakan duti setem sebanyak RM10," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara telah menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2025. Untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama, sebelum ini, duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah telah dikecualikan sepenuhnya hingga akhir tahun 2025.

 

Tahun hadapan kata Tengku Zafrul, peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah di luar bandar akan ditingkatkan daripada RM361 juta kepada RM460 juta.

 

Di samping itu, kadar siling bantuan bina baharu rumah turut dinaikkan, contohnya daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit di Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, 3,000 rumah baharu akan dibina dengan lebih separuh daripadanya di Sabah dan Sarawak.

 

Untuk kawasan bandar pula, Program Perumahan Rakyat (PPR) disediakan peruntukan RM367 juta termasuk projek baharu di Marang, Terengganu dan Arau, Perlis untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu.

 

Program Rumah Mesra Rakyat pula melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.
 

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan Kerajaan atas pinjaman perumahan terutamanya untuk membantu peminjam tanpa pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing yang telah membantu lebih 14,000 peminjam.

 

"Bagi membantu sehingga 12,000 peminjam pada tahun 2023, kemudahan jaminan Kerajaan melalui SJKP akan ditingkatkan sebanyak RM3 bilion," kata beliau.

 

Menurutnya, #TeamMOF telah bertemu Kak Noraishah semasa mengadakan lawatan ke PPR Lembah Subang 1. Sebagai ketua komuniti yang disegani, beliau amat aktif dan sering bekerjasama dengan pihak PBT dan Yayasan Hasanah dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti menerusi program keusahawanan dan pemerkasaan wanita demi membolehkan mereka berdikari.

 

Dalam membina persekitaran komuniti yang harmoni, Kerajaan komited untuk:

Pertama: memastikan kondisi rumah strata kos rendah dan sederhana yang selamat dengan menyelenggara termasuk menggantikan lif-lif usang dengan peruntukan 290 juta ringgit;

 

Kedua: meningkatkan khidmat kesihatan bergerak antaranya di kawasan rumah kos rendah dengan peruntukan 22 juta ringgit;

 

Ketiga: menyediakan kelas pemulihan untuk anak-anak penghuni rumah kos rendah yang tercicir pembelajaran semasa pandemik COVID-19; dan

 

Keempat: mempergiat aktiviti peningkatan pendapatan oleh Yayasan Hasanah antaranya membantu pengusaha makanan memanfaatkan platform Cloud Kitchen. - DagangNews.com