Bajet 2023: Aset pertahanan negara semakin usang perlu ditukar | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: Aset pertahanan negara semakin usang perlu ditukar

Malaysia se­perti juga negara berdaulat lain perlu mempunyai keupayaan berdikari dalam aspek pertaha­nan agar tidak bergantung pada pihak lain.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 5 Okt - Kenyataan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany yang risau tentang aset ketenteraan usang khususnya pada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu membuka mata banyak pihak.

 

Dengan bajet selenggaraan aset sedia ada terhad, beliau risau tentang kemampuan yang boleh dilakukan sekiranya berlaku ancaman.

 

Suara PTL ini perlu diberikan perhatian serius kerana ia dikeluarkan kepimpinan kanan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Sebagai orang nombor satu TLDM,  pandangan Mohd. Reza wajar diterima kerana beliau melihat keperluan angkatan itu pada masa ini dan masa hadapan. 


 

Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany
Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany

 


Soal keperluan aset ATM juga tidak boleh ditentukan oleh pentadbir awam yang duduk di atas kerusi empuk, dalam bilik berhawa dingin, hanya membaca laporan-laporan yang disediakan dan tidak pernah memperuhkan nyawa untuk negara.

 

Justeru, persoalan berhubung adakah kerajaan perlu menambahkan bajet pertahanan secepat mungkin, jawapannya adalah mesti.

 

Ini kerana realitinya banyak perolehan yang telah dirancang untuk ATM telah tertangguh sejak 10 tahun lalu. 

 

Senarai keperluan aset-aset baharu tidak dapat dilaksanakan pada masa tersebut atas alasan perlu mengutamakan perbelanjaan lain.

 

Akibatnya, penangguhan yang panjang mengakibatkan rancangan pemodenan tentera terbantut dan kesan tersebut sedang dilihat.

 

Misalnya, perolehan pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) yang sepatutnya dimuktamadkan pada 2015 masih tidak dapat dibuat apabila kerap tertangguh.

 

Desakan kewangan menyebabkan ATM terpaksa beralih pada cadangan pembelian pesawat tempur ringan (LCA) yang lebih ekonomi dan tidak membebankan kantung negara.


 

volatiliti
Kelewatan penyiapan LCS juga mendatangkan isu kepada TLDM yang benar-benar memerlukan kapal peronda moden dan baru.

 


Aset lain yang belum diputuskan ialah penukaran kenderaan perisai Radpanzer Condor, penggantian Jernas, progam pengganti Nuri dan rancangan pesawat radar amaran awal (AEW).

 

Pada Bajet 2022, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM16.14 bilion, di mana hanya pertambahan terlalu kecil iaitu kira-kira 1.78 peratus berbanding peruntukan tahun lalu.

 

Tahun sebelumnya, ATM mene­rima peruntukan sebanyak RM15.86 bilion, manakala jumlah yang diterima pada 2020 adalah RM15.6 bilion dan RM13.9 bilion (2019).

 

Bagaimana pun, daripada jumlah tersebut sebahagian besar iaitu sehingga 60 peratus diperuntukkan bagi emolumen manakala bakinya bagi perbelanjaan pembangunan. 

 

Setelah dibahagikan pada ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara, jumlahnya semakin mengecil.

 

Selain perolehan baharu, aset sedia ada juga perlu diselenggara dan penyelenggaraan memerlukan dana yang mencukupi.


 

nuri
Pesawat Nuri hanya dirancang akan diganti pada tahun 2026 walaupun keperluan untuk mengoperasikan helikopter baharu mendesak.

 


Negara perlu mencontohi Indonesia yang meletakkan keutamaan pada bajet pertahanan negara sekali gus menyaksikan pembangunan ketenteraan negara itu berjalan seimbang.

 

Indonesia tahun lalu memperuntukkan RM42 bilion untuk pertahanan walaupun turut ber­depan dengan situasi pande­mik. 

 

Ia pada masa sama tetap melaksanakan perolehan aset-aset ketenteraan termasuk penggantian aset-aset usang.

 

Bagi belanjawan tahun hadapan, kementerian pertahanan republik itu telah memohon sebanyak RM40 bilion, jumlahnya menurun sedikit tetapi masih pada angka yang membolehkan pembelian aset baharu dilaksanakan.

 

Sekiranya bajet pertahanan 2023 dinaikkan kepada 1.5 peratus berbanding 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), maka angka yang diterima sekitar RM24 bilion.


 

ATM
Bajet pertahanan yang seimbang membolehkan ATM meneruskan rancangan pemodenan selain menyelenggara aset-aset sedia ada.

 


Memperuntukkan kewa­ngan yang lebih besar penting demi memastikan kesiapsiagaan ATM berada pada paras mampu beroperasi sebagai sebuah angkatan lengkap.

 

Jika pun negara mempunyai kemampuan kewangan yang terhad, namun belanjawan pertahanan hendaklah seimbang dan tidak boleh berkurangan. - DagangNews.com