Antara Madani VS UMNO: Mana lebih mencuri tumpuan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 30 January 2023

Antara Madani VS UMNO: Mana lebih mencuri tumpuan?

 


 

DUA peristiwa yang paling hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia kini. Tatkala konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi hangat dibincangkan, ledakan UMNO pula mencuri tumpuan.

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan konsep Malaysia Madani dalam haja tuju pentadbirannya. Apa yang Anwar mahukan adalah fokus utama negara dalam membangunkan semula ekonomi Malaysia adalah berteraskan nilai, etika dan akhlak.

 

Konsep Madani “ciptaan” Anwar

Konsep Madani “ciptaan” Anwar untuk membangunkan Malaysia adalah berteraskan 6 tonggak utama iaitu:

  • KeMampanan
  • kesejAhteraan
  • Daya Cipta
  • HormAt
  • KeyakiNan
  • Ihsan

 

Bertitik tolak kepada 6 tonggak Madani ini, Anwar mensasarkan membangunkan Malaysia dengan memberi fokus kepada membina semuka ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, mereformasi institusi demokrasi dan perundangan dan mewujudkan pentadbiran beramanah.

 

Walaupun ada yang menganggap ia sebagai retorik semata-mata yang hanya gabung-jalinkan strategi kerajaan terdahulu, kemudian dilabel sebagai acuan baharu.

 

Namun begitu, rakyat perlu memberi masa kepada Anwar dan kerajaan pimpinannya bagi “menunjukkan taringnya”.


 

madani

 


Menjelang 100 hari pemerintahan Anwar Ibrahim

Dalam menjelang 100 hari pemerintahan Anwar Mac ini, Anwar menerusi kerajaan perpaduannya masih dilihat “gagal” untuk mengawal harga barangan di Malaysia.

 

Pada masa kini, harga kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan harian untuk bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat dalam kumpulan B40, bahkan menyebabkan golongan M40 juga.

 

Krisis bekalan telur ayam dan minyak masak masih lagi belum selesai sehingga hari ini. Rakyat menggesa kerajaan perpaduan untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.

 

Ledakan UMNO lebih mencuri tumpuan

Tatkala kerajaan perpaduan mahu memikirkan strategi terbaik bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barangan dan memulihkan semula ekonomi dalam kerajaan yang lebih stabil, ledakan UMNO pastinya “meresahkan” Anwar Ibrahim.

 

Ledakan UMNO apabila UMNO melakukan “pembersihan” parti apabila memecat Khairy Jamaludin, Noh Omar dan menggantung Hishammuddin Hussien, Shahril Hamdan dan lain-lain.


 

KJ

 


Pemecatan Khairy Jamaludin ibarat “retak menanti belah”

Pemecatan Khairy Jamaludin (KJ) yang dikatakan melakukan sabotaj pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 yang lalu.

 

Pemecatan KJ ini bukannya satu kejutan besar pun, ramai yang telah menjangkakan perkara ini. Ini kerana kelantangan KJ dalam menyuarakan pandangannya terhadap Zahid sebelum ini lagi.

 

Secara logiknya, apabila seorang pekerja yang boleh mengecam dan menggugat seorang bos, pastinya pekerja itu akan dibuang atau diberhentikan. Begitulah senarionya!

 

Dari sudut analisis politik pula, jika sokongan akar umbi UMNO kepada KJ, Hishamuddin, Noh Omar, Shahril Hamdan yang kuat, pastinya jawatan tertinggi UMNO seperti Naib Presiden, Pemuda, Wanita, Puteri akan dimenangi oleh “geng-geng KJ”. Ia sesuatu yang mungkin ditakuti oleh Zahid selaku presiden.

 

Apa pun alasannya, Zahid dan MT UMNO sahaja yang tahu hal sebenar!

 

KJ macam “goreng pisang panas”

Baru sahaja dipecat, KJ dah macam goreng pisang panas, Semua parti bersedia menerima KJ untuk menyertai parti mereka jika KJ mahu.

 

PH, Bersatu, Gerakan, mana satu pilihan KJ?

Ramai penyokong PH mengharapkan KJ boleh menyertai PH? KJ dilihat lebih popular dalam kalangan pengundi muda dan bandar. KJ dilihat sebagai “ikon” muda yang disukai oleh pengundi muda.

 

Bukan setakat parti politik sahaja yang “berminat” dengan KJ, Tengku Mahkota Johor juga dalam “posting” sosial medianya menawarkan KJ sebagai CEO JDTFC.

 

Kita tunggu sahaja perkembangan semasa apakah keputusan lelaki – tall , dark and hansome ini?


 

hisham

 


Ke mana Hishammuddin?

Tindakan Zahid menggantung Hishammumdin dan tidak memecatnya  dilihat mempunyai “strategi”. Dengan menggantung Hishammuddin selama 6 tahun akan menyekat beliau daripada bertanding dalam satu atau dua kitaran pilihan raya. Ia seolah-olah akan “membunuh” karier politik Hishammuddin.

 

Jika Hishammuddin meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen, pilihan raya kecil perlu dilakukan semula. Jika Hishammuddin bertanding semula atas tiket parti apa sekalipun,  Hishammuddin dilihat mempunyai kekuatan di  Sembrong. Ini kubu kuat beliau.

 

Beliau menang di Sembrong sejak 5 penggal dahulu kecuali 2018.  Selain itu, jika pilihan raya kecil dilakukan, pastinya “geng anti-zahid” akan membantu Hishammuddin dalam berkempen.

 

Apakah percaturan pilihan Raya Negeri?

Dijangkakan pilihan raya negeri bagi enam negeri pada Julai atau Ogos tahun ini. Ia sesuatu yang menarik untuk kita saksikan atas ledakan UMNO yang berlaku.

 

Jika KJ memilih PH, pasti akan berlaku “perang” antara UMNO dan bekas pembangkang UMNO yang telah berada di kem PH dalam pilihan raya negeri.

 

Jika KJ memilih PN pula, ia satu ancaman kepada PH pula kerana pastinya pengundi pertengahan dan muda akan mengikut KJ dalam PN.

 

Percaturan Zahid Hamidi dan kestabilan kerajaan perpaduan

Adakah kerajaan perpaduan Anwar akan tergugat? Pemecatan dan pengantungan 2 figura besar Khairy Jamaludin dan Hishammmudin Hussien  sedikit sebanyak “boleh” menggugat kestabilan kerajaan perpanduan pimpinan Anwar.

 

 Dikhuatiri pemimpin Barisan Nasional  (BN) yang lain yang bertindak keluar parti atau lain-lain tanda tidak bersetuju dengan tindakan Zahid.

 

 

ismail sabri

 


Antara nama lain yang “berpotensi” untuk keluar UMNO seperti Ismail Sabri Yaakob dan Hasni Mohamad.

 

Kini, kerajaan perpaduan yang memperoleh majoriti 2/3 daripada gabungan PH-82, BN 30 dan GPS- 36. Walaupun secara matematiknya, jika mana sekalipun BN keluar kerajaan perpaduan sekali pun, kerajaan perpaduan masih mempunyai 118 kerusi. Cuma nya, blok pembangkang akan menjadi kuat.

 

Namun, adalah mustahil BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan melainkan , ahli parlimen BN “beramai-ramai keluar parti”

 

Perkara ini pastinya “merisaukan” Anwar Ibrahim! Kerajaan Perpaduan juga memerlukan UMNO untuk terus bertahan bagi menyelamatkan Kerajaan Perpaduan!

 

Kestabilan negara yang rakyat mahukan

Ledakan UMNO lebih mencuri tumpuan berbanding Malaysia Madani yang baru di lancarkan oleh Perdana Menteri minggu lepas.

 

Apa yang lebih dirisaukan, ledakan UMNO ini akan mengganggu gugat kestabilan politik Malaysia.

 

Kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang kembali.  Rakyat cuma mahukan ekonomi negara kembali pulih demi kelangsungan hidup rakyat. - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags