Annuar Marzuki Abdul Aziz dilantik sebagai CFO baharu SP Setia | DagangNews Skip to main content

Annuar Marzuki Abdul Aziz dilantik sebagai CFO baharu SP Setia

KUALA LUMPUR 2 Dis - SP Setia Bhd mengumumkan pelantikan Annuar Marzuki Abdul Aziz sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharunya berkuat kuasa 1 Disember 2022.

 

Beliau menggantikan Datuk Yuslina Mohd Yunus, 55, yang memegang jawatan sebagai pemangku CFO sejak 9 Mei lalu.

 

Sebelum memegang jawatan CFO di SP Setia, Annuar Marzuki, 52, adalah CFO dan ketua pegawai pelaburan KLCC Property Holdings Bhd.

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai CFO kumpulan UEM Group Bhd dari September 2009 hingga Ogos 2013 dan CFO PLUS Expressway Bhd antara Jun 2006 dan Ogos 2009.

 

Keuntungan bersih S P Setia melonjak lebih enam kali ganda kepada RM70.18 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 (3QFY2022) daripada RM11.01 juta pada 3QFY2021, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan pembangunan hartanahnya.

 

Hasil kumpulan meningkat 44.8% kepada RM860.94 juta daripada RM594.55 juta.

 

Pemaju hartanah itu memperoleh jumlah jualan RM2.7 bilion dalam sembilan bulan terkumpul berakhir 30 Sept 2022, terutamanya daripada projek tempatan, yang menyumbang RM2.34 bilion atau kira-kira 87% daripada jumlah jualan. Baki RM359 juta datang daripada projek antarabangsa. - DagangNews.com