Akhbar Cina tunggu apakah betul Anwar bakal jadi Menteri Kewangan Terbaik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 10 December 2022

Akhbar Cina tunggu apakah betul Anwar bakal jadi Menteri Kewangan Terbaik

Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao 7-9 Nov 2022

 

 

PILIHAN RAYA Umum ke-15 (PRU15) memang layak digelar ibu segala PRU. Ini kerana selepas berakhirnya pilihan raya pada 19 November yang lalu, hanya pada hari kelima 24 November barulah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) ke -10 dan membentuk Kerajaan Perpaduan.

 

Kemudian Anwar juga mengambil masa lapan hari untuk mengumumkan senarai 28 menteri kabinet pada 2 Disember lalu.

 

Dalam senarai kabinet tersebut, antara yang paling kontroversi adalah pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Anwar juga telah melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

 

Jika dilihat dari sudut politik, Ahmad Zahid yang merupakan tangan di sebalik tabir pembentukan Kerajaan Perpaduan, pelantikan tersebut adalah cara yang paling berkesan untuk menstabilkan keseluruhan kerajaan. Manakala PM sebagai menteri kewangan pula sebenarnya bukanlah perkara baru dalam era pemerintahan BN dulu.

 

Cabaran ekonomi

Ekonomi negara sekarang sangat memerlukan pemulihan dan pembaharuan, meningkatkan kadar pertukaran ringgit, mengekang inflasi dan mengurangkan beban hidup rakyat.

 

Jika Anwar ingin melakukan reformasi drastik kepada sistem ekonomi, beliau mesti mengawal secara langsung kuasa kewangan agar dapat menggiatkan semula ekonomi dan menarik pelabur dengan lebih berkesan.

 

Di samping itu, Anwar juga telah melantik dua pakar ekonomi iaitu Rafizi Ramli dan Tengku Zafrul sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Perdagangan Ekonomi Antarabangsa dan Industri.

 

Dengan harapan melalui pengalaman mereka berdua dalam bidang ekonomi dan perbankan dapat menarik lebih banyak modal asing. 

 

Kita sedia maklum bahawa Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian merupakan jabatan terpenting yang mendominasi pembangunan ekonomi negara. Ketiga-tiga jabatan ini juga merupakan ‘segitiga besi’ ekonomi negara.

 

Sekiranya ketiga-tiga jabatan ini dapat bekerjasama antara satu sama lain, memacu pembaharuan, menyatukan pasaran modal negara dan menarik modal asing untuk melabur di negara kita, nescaya ia dapat menggalakkan pembangunan ekonomi Malaysia.

 

Sumber yang terhad

Cabaran terbesar Anwar juga ialah bagaimana untuk menangani isu ekonomi dengan sumber yang terhad.

 

Selepas penularan wabak COVID-19, pertumbuhan ekonomi beransur pulih secara perlahan-lahan namun rakyat masih merasai kegawatan hidup.

 

Beliau dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara berkata kos sara hidup adalah masalah yang membelenggu golongan miskin. Jadi subsidi kerajaan akan tertumpu kepada kumpulan sosial yang memerlukan manakala golongan kaya tidak sepatutnya menikmati subsidi. Jika pemberian subsidi tanpa kawalan, maka beban kewangan kerajaan akan meningkat.

 

Ekonomi negara masih berdaya tahan

Sebenarnya ramai penganalisis luar dan dalam negara percaya bahawa ekonomi Malaysia masih berdaya tahan dan boleh mencapai pertumbuhan 4.5 peratus tahun hadapan. Namun jika keadaan politik menjadi tidak stabil, ini akan menjadi risiko terbesar kepada ekonomi Malaysia.

 

Oleh demikian, kerajaan baharu mesti menstabilkan keadaan dan lebih mendengar pendapat rakan sekutu. Beberapa isu kontroversi yang pasti akan dibangkitkan oleh parti pemerintah dan pembangkang seperti pengiktirafan sijil UEC, dasar pembasmian kemiskinan dan sebagainya perlu melalui perbincangan bersama.

 

Pencapaian 100 hari 

Sejak perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018, parti pemerintah dan pembangkang serta rakyat mempunyai satu kebiasaan iaitu akan menilai apa yang kerajaan baharu boleh dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, juga bermaksud pencapaian 100 hari.

 

Bagaimanapun, Kerajaan Perpaduan masih belum mengumumkan matlamat dasar yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari bermula 3 Disember 2022 sehingga 13 Mac 2023. Kerajaan baharu tiada mengemukakan kandungan Pelan 100 Hari mereka.

 

Walaupun tiada penetapan yang jelas matlamat tadbir urus yang ingin dicapai dalam tempoh 100 hari, namun beberapa siri tindakan Anwar selepas kabinet terbentuk juga nampak mengagumkan.

 

Antaranya dalam mesyuarat khas Kabinet pada 5 Disember, memutuskan untuk mengurangkan harga telur, mengurangkan cabutan khas perjudian dan pemotongan 20 peratus gaji para menteri.

 

Anwar juga dari awal lagi sudah menyatakan bahawa beliau tidak akan mengambil gaji PM, yang mana perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.

 

Selain itu, Anwar juga ada mendedahkan kerajaan terdahulu disyaki menyeleweng dana awam RM600 bilion semasa wabak COVID-19, mengkaji semula projek rangkaian 5G, meneliti semula projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, menyelesaikan isu monopoli beras dan sebagainya. Semangat ‘reformasi’ Anwar benar-benar terserlah dan memberi harapan kepada rakyat.

 

Ramai yang gembira selepas Anwar berjaya menjadi PM. Pengundi menaruh harapan yang sangat tinggi terhadap pemimpin yang pernah dikenali di peringkat antarabangsa dengan pengurusan ekonomi yang cemerlang. 

 

Pencapaian 100 hari pada mulanya ia adalah satu idea yang bagus, tetapi pelaksanaannya selalu tidak menjadi. Rakyat hanya ingin melihat siapa yang berjaya skor markah tertinggi dalam prestasi selepas 100 hari.

 

Namun, jawapan akhir yang sering dilihat dan baru kita sedari adalah sebenarnya ramai menteri jenis bangga diri dan tebal kulit muka.

 

Keutamaan kerajaan Anwar adalah memberi tumpuan kepada ekonomi sara hidup rakyat. Meskipun ramai yang mempersoalkan beliau memegang portfolio sebagai menteri kewangan, namun tidak salah jika kita menunggu dengan sabar untuk melihat adakah Anwar akan berjaya memegang trofi ‘Menteri Kewangan Terbaik’ Malaysia!

 

Kita percaya selepas 24 tahun menunggu untuk duduk di kerusi PM, Anwar pasti akan dapat memberikan hasil yang luar biasa dalam tempoh 100 hari kepimpinannya. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 7-9 Disember 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags