ACV-300 Adnan, MIFV tunggu lampu hijau untuk dinaik taraf | DagangNews Skip to main content

 ACV-300 Adnan, MIFV tunggu lampu hijau untuk dinaik taraf

Kenderaan antiarmor Adnan dengan misil Bakhtar Shikan yang boleh menembak ke sasaran sejauh 3,000 meter.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

SELAIN penggantian Radpanzer Condor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan melaksanakan program menaik taraf kenderaan tempur ACV-300 Adnan dan MIFV.

 

Ini bukanlah perancangan baharu, sebaliknya telah direncanakan sejak tujuh tahun lalu tetapi belum dapat direalisasikan.

 

Difahamkan program menaik taraf ini telah pun dimasukkan dalam belanjawan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan sepatutnya dimulakan tahun lalu.

 

Bagaimana pun, berkemungkinan ia ditangguhkan apabila negara berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 yang mana beberapa perbelanjaan negara perlu diubah.

 

Kedua-dua jenis kenderaan ini telah berusia lebih 20 tahun, justeru program menaik taraf penting bagi memanjangkan jangka hayat.

 

MIFV dan ACV-300 Adnan pada asasnya mempunyai ciri-ciri serupa kerana ia dibina berasaskan kenderaan perisai M113A1 buatan Amerika Syarikat.

 

ACV-300 Adnan bagaimana pun, lebih moden dengan kelengkapan serta persenjataan lebih baik berbanding MIFV.

 

MIFV iaitu singkatan Malaysia Infantry Fighting Vehicle merupakan kenderaan K200A1 buatan Korea Selatan yang dibeli khusus semasa misi tentera pengaman di Bosnia Herzegovina.


 

mifv

 

mifv
Kenderaan MIFV yang berusia lebih 20 tahun perlu dinaik taraf bagi memanjangkan jangka hayat.

 

 

Sebanyak 111 buah kenderaan ini dibeli pada tahun 1995 berikutan pasukan pengaman negara di sana memerlukan kenderaan perisai jenis runut.

 

Apabila berakhir misi pengaman di negara Balkan tersebut pada tahun 1999, kesemua kenderaan MIFV dibawa pulang dan dioperasikan oleh pasukan armor serta infantri mekanis.

 

Tujuh buah daripadanya kini digunakan oleh pasukan Skuadron Armor Para bagi menggantikan kenderaan Scorpion dan Stormer yang ditamatkan perkhidmatan.

 

ATM memperoleh 267 buah Adnan dalam pelbagai versi bagi melengkapkan pasukan infantri mekanis dan rejimen armor yang diterima secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2004.

 

Perolehan ACV-300 Adnan buatan firma FNSS Savunma Sistemleri dari Turkiye merupakan kerjasama pertahanan pertama dengan DRB-HICOM Defence Technologies (DEFTECH).

 

 

adnan
Adnan dilengkapi dengan perlindungan daripada NBC, alat penglihatan malam (NV) dan pelancar bom asap pada sisinya.

 

 

Sebanyak 146 buah kenderaan diterima siap dari Turkiye manakala bakinya dipasang di kilang DEFTECH di Pekan, Pahang.

 

Antaranya ialah kenderaan tempur dengan turet senjata 25mm Sharpshooter Bushmaster, kenderaan antiarmor dengan misil Bakhtar Shikan dan pembawa mortar 120mm.

 

Pengoperasian ACV-300 Adnan telah melonjakkan keupayaan pasukan infantri mekanis Tentera Darat kerana teknologi pada kenderaan perisai ini menepati dengan kehendak waktu itu.

 

Kenderaan ini dilengkapi dengan perlindungan daripada nuklear, biologi dan kimia (NBC), alat penglihatan malam (NV) dan pelancar bom asap pada sisinya.

 

Peralatan NV membolehkan kenderaan ini beroperasi pada waktu malam manakala kenderaan pula boleh dipandu pada kelajuan sehingga 90 kilometer sejam.

 

Kenderaan ACV-300 Adnan turut terlibat dalam Operasi Daulat semasa memerangi pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.

 

 

zaki

 

 

Pihak FNNS Turkiye pada Januari lalu telah mengadakan sesi webminar Modenisasi Kenderaan Perisai ACV 300 Adnan kepada pihak atasan Tentera Darat.

 

Ia bagi berkongsi pengetahuan mengenai teknologi dan kaedah program modeniasi, sistem persenjataan generasi baru dan teknologi kenderaan darat tanpa pemandu (UGV). 

 

Selain FNNS Turkiye dan DEFTECH, terdapat beberapa syarikat tempatan turut menawarkan program modeniasi ACV-300 Adnan bersandarkan apa yang diperlukan Tentera Darat.

 

Antaranya Mildef International Technologies (Mildef) yang merupakan pengeluar kenderaan perisai Tarantula dan Rentaka.


 

Tarantula

 


Selain melibatkan syarikat swasta, ATM juga dipercayai mempunyai keupayaan untuk melaksanakan program menaik taraf kedua-dua kenderaan ini secara terhad.

 

Bagaimana pun, ia masih memerlukan kerjasama syarikat swasta sekiranya melibatkan penggantian komponen kritikal atau sistem persenjataan generasi baru. - DagangNews.com