2023: Kelembapan Ekonomi Global dan Prospek Ekonomi Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 9 January 2023

2023: Kelembapan Ekonomi Global dan Prospek Ekonomi Malaysia

 

 

 

CABARAN utama buat negara dalam membangunkan semula ekonomi negara tahun 2023 ini adalah dalam mengimbangi kesan pandemik COVID-19 dan kesan perang yang telah mengheret kelembapan ekonomi global.

 

Malaysia tidak terkecuali mengalami kesan apabila negara juga mengalami kadar inflasi yang tinggi.

 

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan pada 2023 iaitu 4.0% berbanding unjuran bagi keseluruhan tahun ini iaitu 8.0 peratus.

 

Malaysia sebagai ekonomi terbuka dan bergantung kepada hasil eksport perlu bersedia mendepani pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun hadapan apabila ekonomi global diramal bakal mengalami kemelesetan pada tahun 2023 ini.

 

Ada sesetengah pihak cuba untuk mengandaikan Malaysia bakal menerima nasib seperti Sri Lanka jika gagal menguruskan ekonomi yang baik.

 

Jangan memandai nak buat spekulasi!

Jangan sesekali membuat andaian!

Malaysia dan Sri Lanka jika dibandingkan dari sudut ekonomi adalah jauh berbeza. Apa yang berbezanya.


 

sri lanka

 


Pertama, dari segi jumlah Rizab Antarabangsa Malaysia kini berjumlah AS$106 bilion dan Sri Lanka hanya AS$3 bilion. Rizab Antarabangsa Malaysia melebihi 97% dari Rizab Antarabangsa Sri Lanka.

 

Kedua, jika diukur dari sudut hutang berbanding KDNK pula, jumlah hutang berbanding KDNK Sri Lanka melebihi 100%. Ini satu signal yang sangat tidak baik sementara Malaysia sekitar 50% hingga 60%.

 

Ketiga, Malaysia mempunyai kepelbagaian ekonomi yang mana Malaysia merupakan pengeksport utama komoditi sementara Sri Lanka yang lebih banyak memfokuskan kepada sektor pelancongan sahaja.

 

Ini satu yang tidak adil untuk kita katakan mahupun membuat andaian Malaysia akan muflis seperti Sri Lanka.

 

Meninjau ekonomi dunia

Rata-rata penganalisis ekonomi dunia menjangkakan ekonomi global akan mengalami kemelesetan akibat kos pinjaman yang lebih tinggi yang bertujuan untuk menangani inflasi.

 

Menurut Pengarah dan Ketua Peramalan CEBR, Kay Daniel Neufeld, ekonomi dunia akan menghadapi kemelesetan pada tahun 2023 adalah akibat daripada kenaikan kadar faedah pinjaman sebagai tindak balas kepada kadar inflasi yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR) menyatakan walaupun ekonomi global melepasi AS$100 trilion pada 2022 tetapi ia bukan jaminan untuk ekonomi dunia untuk terus mengukuh.

 

Jika dilihat kepada kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, China mahupun Eropah, semua aktiviti ekonomi negara-negara ini juga semakin perlahan.

 

Terbaharu laporan IMF juga telah menurunkan prospek pertumbuhan ekonomi global pada 2023 yang mencerminkan heretan berterusan daripada perang di Ukraine serta tekanan inflasi dan kadar faedah tinggi yang disebabkan oleh bank pusat seperti Rizab Persekutuan (Fed) AS yang bertujuan untuk menurunkan tekanan harga berkenaan.


 

ukraine

 


Kesan berganda Perang Rusia-Ukranie masih dirasai

Seperti yang kita tahu, perang Rusia-Ukraine tercetus ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19. Walaupun ia telah agak “lama” berlalu, namun kesan perang ini masih dirasai dunia hingga kini.

 

Perang Rusia-Ukraine ini telah menyebabkab inflasi melonjak di seluruh dunia sehingga mengancam pertumbuhan ekonomi bagi banyak negara.

 

Hingga kini, kesan berganda dek kerana inflasi ini terus “memerangkap” negara-negara di dunia untuk memulihkan semula ekonomi mereka.

 

G20 dan deklarasi Rusia-Ukranine

G20 cuba menyedia resolusi bagi isu ini. G-20, nama penuh Kumpulan Dua Puluh Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat merupakan pertubuhan gabungan 20 negara ekonomi terbesar di dunia serta Kesatuan Eropah.

 

G20 ditubuhkan sebagai forum baru untuk kerjasama dan rundingan dalam isu-isu yang berkaitan dengan sistem kewangan antarabangsa. Kini, G20 adalah satu kumpulan berpengaruh yang mewakili 80% daripada KDNK dunia

 

Semua ahli G20  “mengecam sekeras-kerasnya” perang Ukraine ini kerana keadaan ini akan menekan dan memburukkan lagi kerapuhan ekonomi global.

 

G20 cuba untuk mencari resolusi bagi mengatasi kebimbangan  terhadap inflasi global tahun 2023 ini dan isu keselamatan makanan.


 

g20

 


Apakah Malaysia anggota G20?

Malaysia bukan ahli G20. Kenapa Malaysia bukan ahli G20?

 

Negara G20 adalah yang menyumbang lebih 80% KDNK dan 75% perdagangan antarabangsa. Atas faktor-faktor ini, Malaysia bukan ahli G20.

 

Namun begitu G20 sering melihat Malaysia dan negara ASEAN sebagai penting dalam membuat keputusan seperti menggubal dasar-dasar di peringkat global mahupun dunia.

 

Malaysia sering dijemput dalam Sidang Kemuncak G20.

 

Peningkatan kadar inflasi negara

Rentetan semua senario ini, peningkatan kadar inflasi pada peringkat global susulan kekangan bekalan dicetuskan perang Rusia-Ukranie yang mendorong bank pusat di dunia menaikkan kadar faedah. Peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) secara agresif bagi mengekang inflasi di negara itu mengukuhkan dolar AS.

 

Kadar inflasi keseluruhan di negara ini juga masih berada pada paras tinggi, sekitar 4%. Ini juga membawa tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali berturut-turut pada 2022.

 

Bagi pasaran ekuiti Malaysia pula, kenaikan kadar faedah dijangka akan menjejaskan pertumbuhan pasaran ekuiti pada 2023.

 

BNM

 

Fokus Malaysia dalam hadapi kelembapan ekonomi 2023

Dalam menghadapi kelembapan ekonomi 2023 ini Malaysia perlu memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi utama negara. Perdagangan mampu untuk membantu negara dalam menghadapi kelembapan ekonomi 2023.

 

Kedua, Malaysia perlu sedaya upaya untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

FDI ini sangat diperlukan bagi Malaysia dan seperti yang diketahui FDI telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi negara.

 

Harapan terhadap Kerajaan Perpaduan

Akhirnya, pastinya apa yang diharapkan agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu “menggubal dasar” yang baik buat negara.

 

Dalam memulihkan ekonomi, Kerajaan perlu memberi kepada isu kos sara hidup, dengan jurang fiskal yang perlu dirapatkan menerusi gabungan seperti pengurangan kos, mengekang kebocoran fiskal.

 

Semoga yang baik-baik sahaja buat Malaysia tahun 2023 ini. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags