BNM perkenal duit syiling peringatan sempena ulang tahun Kilang Wang ke-50 | DagangNews Skip to main content

BNM perkenal duit syiling peringatan sempena ulang tahun Kilang Wang ke-50

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Kilang Wang yang ke-50. 

 

Kilang Wang yang ditubuhkan pada 10 Julai 1971 merupakan penempa rasmi duit syiling Malaysia.

 

Duit syiling peringatan ini boleh dibeli mulai hari ini, 28 September 2022 melalui https://duit.bnm.gov.my.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, sejak lima dekad lalu, Kilang Wang telah menempa syiling yang cantik dengan reka bentuk yang digemari rakyat Malaysia. 

 

"Dengan bentuk dan rekaan yang tersendiri, duit syiling peringatan ini dikeluarkan bersempena dengan ulang tahun Kilang Wang yang ke-50 ini meraikan warisan budaya negara dan pada masa yang sama mempamerkan kemahiran pengukir serta teknologi Kilang Wang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi, antaranya duit syiling peringatan tembaga (pruf) berbentuk wau, gasing dan congkak. 

 

Duit syiling itu diperbuat daripada logam tembaga dengan ketulenan 99.9 dan dikeluarkan dalam tiga bentuk iaitu wau, gasing dan congkak dengan berat 36.6 gram, 21.7 gram dan 22.8 gram setiap satu. 

 

 

bnm

 

 

bnm

 

 

Nilai muka duit syiling tersebut ialah RM5 dan akan dijual pada harga RM220 sekeping. Sejumlah 1,200 keping telah ditempa untuk setiap jenis.

 

Selain itu, duit syiling peringatan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) turut diperkenalkan. Ia diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain dengan berat 8.5 gram. 

 

Nilai muka duit syiling itu ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

 

 

bnm

 

 

bnm

 

 

Duit syiling peringatan itu juga tersedia dalam bentuk Set 3 dalam 1 untuk jualan. Set tersebut berharga RM605 dan mengandungi sekeping duit syiling pruf  tembaga berbentuk wau, gasing dan congkak. Sejumlah 1,200 set tersedia untuk pembelian.

 

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad itu, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 3 dalam 1, satu keping duit syiling tembaga (pruf) untuk setiap bentuk (wau, gasing dan congkak) dan maksimum hingga lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

 

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui https://duit.bnm.gov.my mulai 12 tengah hari pada 28 September 2022 hingga 11 malam pada 9 Oktober 2022.

 

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

 

Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan. - DagangNews.com