BNM perbaharui perjanjian swap mata wang dengan Bank Indonesia | DagangNews Skip to main content

BNM perbaharui perjanjian swap mata wang dengan Bank Indonesia

KUALA LUMPUR 27 Sept – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia memperbaharui Perjanjian
Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala LCBSA) dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion/
28 trilion rupiah pada 23 September 2022. 

 

Pembaharuan perjanjian itu merupakan susulan perjanjian pertama yang ditandatangani pada 2019 dan akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun sekali gus mengukuhkan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua bank pusat.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Bank Indonesia melalui pembaharuan LCBSA ini memandangkan aliran perdagangan yang tinggi antara Malaysia dengan Indonesia.

 

"LCBSA juga menyumbang kepada Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan  LCSF) antara kedua-dua negara iaitu pengaturan yang menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas
bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo percaya pembaharuan pengaturan swap mata wang itu mencerminkan kerjasama kewangan yang terus kukuh antara Bank Indonesia dan BNM.

 

Katanya, ia akan akan terus membina keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi kedua-dua negara. 

 

"Pembaharuan swap ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuh kestabilan pasaran kewangan melalui usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala antara Indonesia dengan Malaysia,” katanya. -DagangNews.com