Big Data dan potensi silang industri bagi kandungan kreatif | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 26 February 2021

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

SUDAH seringkali kita mendengar pelbagai kenyataan dan laporan bahawa industri kreatif merupakan salah satu penyumbang besar kepada ekonomi negara.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Forum Ekonomi Kreatif 2021 menyatakan bahawa industri kreatif menyumbang 1.6% kepada KDNK negara pada tahun 2015 – satu pengumuman yang nampak gah, tetapi saya merasakan masih tidak siginifikan dari kaca mata ekonomi.

 

Pertambahan peratusannya masih tidak jauh berbeza dari yang dicatatkan sekitar tahun 2010 – sedangkan trend global secara umumnya memperlihatkan trend pertumbuhan yang lebih drastik dalam industri ini.

 

Hal ini dibuktikan dalam situasi pandemik kini, apabila kerajaan mempertimbangkan tentang sektor ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi, industri kreatif menjadi antara yang paling terkesan – dan operasi industrinya menjadi antara yang paling akhir untuk dibenarkan beroperasi.

 

Adakah industri kreatif tidak berkembang?

 

Jika mahu bersifat optimis, daripada pemerhatian umum, sememangnya sepuluh tahun terakhir bagi industri ini – khususnya untuk indutri kandungan kreatif - memperlihatkan trend yang perkembangan yang baik.

 

Contohnya, kita dapat melihat beberapa IP Malaysia telah berjaya menjelajah dunia – syarikat modal teroka (venture capital) mula berani melabur dalam syarikat penerbitan di negara ini – pelaburan langsung asing (FDI) meningkat – malah syarikat korporat termasuk sayap pelaburan negara Khazanah Nasional sendiri mula memberi keyakinan untuk melabur dalam sektor ini.
 

 

industri kreatif
KARIKATUR Upin Ipin adalah antara hasil industri kreatif Malaysia yang terkemuka.

 

 

Namun, apakah yang menjadi faktor `keciciran` industri kandungan kreatif sepanjang menghadapi pandemik ini- sedangkan kita tahu bahawa Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar dalam industri ini? Adakah benar sumbangan ekonomi industri kandungan kreatif masih tidak mencapai tahap untuk `visible` di mata penggubal dasar negara?

 

Dengan kurangnya maklumat yang saya miliki, saya bukanlah orang yang berhak untuk menjawab hal ini. Apatah lagi terlalu sukar untuk kita mendapatkan statistik dan data terperinci mengenai nilai ekonomi industri secara terperinci dan tepat. Mungkin pihak kerajaan mempunyai data-data tersebut, tetapi jika ya - mungkin tidak sampai kepada saya.

 

Sejujurnya, jika mahu memperkatakan perkara asas sekalipun - iaitu statistik pekerja kandungan kreatif di negara ini, sukar untuk kita mendapat angka yang konsisten – apatah lagi mahu mendapatkan analisis landskap sosio-ekonomi golongan pekerja ini.

 

Oleh itu, saya melihat usaha mana-mana pihak – terutama pihak berwajib - yang mahu mewujudkan pusat data sehenti adalah sesuatu yang wajar disokong. Dengan semua itu, kita akan mendapat gambaran landskap demografi yang lebih jelas tentang bidang-bidang pekerjaan dalam industri ini. Melalui analisis data itu juga kita dapat mengenal pasti isu, permasalahan malah mungkin ramalan potensi sektor ini di masa mendatang.

 

Melalui data ini contohnya, kita dapat mengenal pasti berapa peratus penggiat industri yang tergolong dalam kategori B40, M40 mahupun T20. Kita juga boleh mendapatkan gambaran berapa peratus yang bergiat di Lembah Klang dan kawasan-kawasan lain.

 

Oleh yang demikian, barulah kita dapat meneliti lebih terperinci tentang mengapa ketidakseimbangan (jika ada) itu berlaku. Mengapa penggiat hanya tertumpu di Kuala Lumpur, sedangkan untuk memajukan industri ini, ia harus berkembang di serata negara dan tidak hanya KL-sentrik?

 

Statistik ini dapat digunakan sebagai rujukan institut pengajian tinggi contohnya dalam merancang pengambilan (enrollment) mahasiswa – tentang bidang pekerja mana yang terdapat kekurangan tenaga mahir dan bidang kerja mana yang terdapat lambakan – malah mungkin boleh digunakan sebagai meramal bidang-bidang kerja baharu yang bakal wujud dan perlu diisi dengan evolusi industri dan teknologi masa kini.

 

Cuma yang menjadi harapan (mungkin kerisauan) adalah bagaimana pelaksanaan usaha mewujudkan `big data` ini dapat dilaksanakan – setelah pelbagai inisiatif sedemikian yang direncana sebelum ini seringkali separuh jalan – berubah teraju, berubah inisiatif.

 

industri kreatif

 

Namun, usaha ini semua adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan jika serius mahu menjadikan industri ini sebagai sesuatu yang siginifikan di mata pihak kerajaan. Angka, statistik dan analisis ini memberikan satu gambaran landskap kerjaya dalam industri ini dengan jelas – dalam meningkatkan profesionalisme sepertimana yang sering kita dengar diungkap dari mulut para penggiat industri.

 

Selain itu, saya melihat pentingnya usaha membolehkan pihak kerajaan untuk melihat industri ini dalam konteks yang lebih luas. Dalam dunia hari ini, industri kandungan kreatif tidak seharusnya dilihat terletak hanya dalam sektor penyiaran, perfileman dan hiburan sahaja. Industri kandungan ini terlibat dalam pelbagai sektor yang lain, termasuklah pendidikan, hartanah, perkilangan dan sebagainya.

 

Teknologi dan kemahiran kandungan kreatif diperlukan oleh semua organisasi – tidak kira ia dalam industri dan sektor yang mana – tidak kira sebagai platform komunikasi korporat, penjenamaan, promosi & publisiti dan pelbagai lagi.

 

Ini sebenarnya satu potensi kepada para usahawan industri kandungan kreatif untuk meneroka ruang dan peluang baharu dalam industri yang pelbagai. Sesiapa sahaja  terutama usahawan baharu yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan bersifat kandungan kreatif tidak harus terkongkong dengan sektor penyiaran, perfileman dan hiburan sahaja – malah perlu cuba untuk meneroka pasaran silang-industri ini.

 

Usaha ini juga adalah bagi memastikan situasi lambakan syarikat produksi yang bersaing untuk mengisi slot tayangan televisyen contohnya dapat dikurangkan. Meskipun saiz pasaran untuk dunia penyiaran makin bertambah dengan kemunculan pelbagai stesen televisyen, platform atas talian dan sebagainya – namun kita masih dapat melihat sekian banyak syarikat produksi yang terpaksa berkubur dalam tempoh lima tahun pertama beroperasi kerana gagal bersaing dalam pasaran.

 

Antara yang mungkin boleh diteroka seperti teknologi drone (UAV) untuk tujuan pemantauan & pemetaan, videografi untuk tujuan pembelajaran & pengajaran (P&P), multimedia untuk lawatan virtual, audiovisual bagi laporan sektor pembinaan & pendokumentasian serta pelbagai kemahiran serta teknologi bidang ini yang semakin hari semakin diperlukan oleh pelbagai sektor industri yang pelbagai.
 

 

industri kreatif
DRONE kini diuji guna untuk sektor pertanian.

 


Selain percubaan meneroka pasaran antarabangsa, yang mungkin dilihat mencabar bagi syarikat kecil dan baharu – peluang silang-industri ini boleh dimanfaatkan sebaiknya. Ini juga membolehkan perniagaan untuk turut berpeluang untuk mendapatkan sebarang insentif mahupun bantuan bukan sahaja yang disediakan kepada industri kandungan kreatif – tetapi juga industri lain termasuklah kesihatan, pertanian dan lain-lain.

 

Lebih penting dari itu, usahawan perlu memperlihatkan keupayaan masa hadapan untuk mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan semata-mata; tetapi juga berpotensi untuk berdaya komersial dan bertarung di pasaran terbuka.

 

Sejujurnya, kita tidak mahu menjadi industri yang dilihat hanya menghabiskan peruntukan kerajaan (juga wang cukai rakyat), namun kita perlu menjadi industri yang progresif, dan juga menyumbang kepada kerajaan (dan pastinya rakyat) – bukan sekadar dalam konteks sosial tetapi juga ekonomi.  - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

 

 

Portfolio Tags