Skip to main content
DagangNews.com
Kolum SENsor RINGGIT - 25 November 2020

BELIAN SEMULA SAHAM:  STRATEGI DAN TRAGEDI

 

 

SEPERTI yang dijanjikan, minggu ini kita selami belian semula oleh syarikat senaraian awam daripada para pemegang sahamnya di Bursa Malaysia. Pasti para pembaca setia kolum ini kelihatan terpinga-pinga dan naik pening-pening lalat. Ya anda tidak keseorangan dan ada sebab untuk anda merasa musykil!

 

Tidak seperti saham bonus, saham pecahan dan saham konsolidasi, belian semula melibatkan syarikat membuat tawaran untuk membeli semula sahamnya sama ada secara tawaran tender atau pasaran terbuka daripada para pemegang sahamnya. Lazimnya, kaedah syarikat membeli sahamnya di pasaran terbuka akan kita perhalusi apakah strateginya akan mencapai matlamat atau bertukar menjadi satu tragedi?

 

Kaedah Saham Belian Semula (Re-Purchase/Buy Back Shares)

Sebagaimana istilahnya, kaedah ini mencerminkan berlakunya belian balik atau belian semula saham-saham lama syarikat senaraian awam oleh sesebuah firma senaraian awam. Pelik bunyinya dan kenapa? Sabar Mat Saham……

 

Berbeza dengan saham pecahan dan pecahan terbalik, belian semula tidak melibatkan berlakunya pertambahan saham secara automatik. Maknanya bilangan saham asal masih lagi kekal sebab syarikat menyimpannya sebagai saham perbendaharaan (treasury shares). Kalau pecahan saham melibatkan pertambahan saham dan pecahan terbalik pula mengurangkan bilangan saham asal, belian semula pula bilangan saham tidak bertambah atau berkurang. Lagi pelik? Sabar Mek Sahami….

 

Makna mudahnya, belian semula sama macam para pelabur membeli saham-saham lama di Bursa Malaysia. Jadi mana bezanya? Ya beza hanya saham-saham lama syarikat senaraian di beli oleh syarikat senaraian yang sama. Kata lain, kalau Mat Sensasi sudah menjual kereta antik kepada anak bujangnya Nik Hansem, si ayah setuju untuk membeli balik daripada anaknya pada harga pasaran semasa. Ooop! Maknanya kereta antik itu tetap berlaku tukar-tangan tetapi hanya dalam kalangan ahli-ahli keluarganya sahaja, bukan dimiliki oleh orang luar!

 

Hahaha….(3x Ha)! Kenapa syarikat yang menerbitkan saham IPOnya bersetuju untuk membeli balik saham-saham tersebut berdasarkan pada harga pasaran? Nampak macam ada yang tak kena jer?…….

 

Apa yang tak kena tu? Jawapannya “Ya” dan “Tidak”!

 

“Ya” sebab syarikat perlu mempunyai tunai yang cukup untuk membeli balik sahamnya berdasarkan kepada harga pasaran. Kalau syarikat bercadang membeli balik 10 juta saham pada harga pasaran katakan RM10, maknanya syarikat perlu membayar RM100 juta. Cukup ke duit syarikat?

 

Jawapan “Tidak” pula kita cuba mencari jawapan di mana sumber pembelian RM100 juta datang? Sebab kita ingin tahu apa faedahnya syarikat belanja RM100 juta hanya membeli balik sahamnya. Tidak produktif dan membazir jer…..komen ahli eknonomi separuh professional sebab ia hanya mengguna rezab tunainya syarikat!

 

Motif  Belian Semula

Seperti dalam kes saham konsolidasi, motif utama syarikat senaraian membeli semula sahamnya adalah untuk meningkatkan harga sahamnya. Kenapa? Pertama, pihak pengurusan percaya harga sahamnya adalah murah atau terkurang nilai (under-valued), bermakna harga pasaran semasa sahamnya tidak mencerminkan asas syarikat yang kuat seperti hasil jualan dan rekod dividen. Justreru, untuk meningkatkan kembali harga sahamnya yang sedang jatuh, kaedah belian semula akan dilaksanakan.

 

aaa
Bursa Malaysia mewajibkan setiap firma senarainnya memfailkan cadangan belian semula sahamnya sama ada tawaran terbuka atau harga pasaran kepada setiap pemegang saham yang berdaftar.

 

Macam ini boleh berlaku? Ikut Mat Ekon, apabila penawaran (bilangan saham dalam edaran) dikurangkan, harga akan naik. Kononnya penawaran kurang daripada permintaan atau permintaan melebihi daraipada penawaran, harga akan naik sebab ramai pembeli daripada penjual saham. Semudah itu?

 

Sabar Mat Bulis! Mat Ekon cakap motif utama kedua adalah untuk mengelakkan sahamnya daripada aktiviti spekulasi berlebihan. Pulok doh? Tanya Awang Ganun macam kurang yakin sebab lazimnya aktiviti spekulasi menyaksikan saham tertentu naik-turun agak ketara sebab ia diniagakan aktif!

 

Menariknya, sejak 2018, kelihatan kaedah belian semula menjadi amalan baharu dikalangan syarikat awam di Bursa Malaysia. Sebagai contoh; Berjaya Corp, IGB, Fajarbaru Builder, Ranhill Holdings, SEG International, Glomac, Tropicana Corp, Brem Holdings, Mitrajaya Holdings dan TRC Synergy telah membeli semula saham mereka di Bursa Malaysia. Justeru untuk menaikkan balik harga-harga saham, mereka membeli semula secara berperingkat dalam dalam tempoh beberapa tahun.

 

Belian Semula Saham Secara Berulang dan Konsisten

Kalau kita sebagai pengguna, apabila membuat membeli barang, kita terus membuat tempahan berulang (repeat order), kata Mat Ekon itu petanda baik. Begitu juga, jangan panik, apabila kita menyaksikan ada syarikat-syarikat senaraian membeli balik sahamnya secara berulang dan konsisten dalam beberapa tempoh masa.

 

Jom kita selami dua syarikat senaraian awam milik Bumiputera patuh syariah:

Sebagai contoh, Glomac adalah syarikat hartanah mula membeli semula sahamnya sebanyak 1.04 juta pada harga 75 sen pada 25 Ogos 2015. Mengikut rekod yang difailkan kepada Bursa Malaysia, sehingga 13 April 2018, Glomac mempunyai 25.02 juta saham melalui belian semulanya iaitu mewakili 3.13% daripada modal berbayarnya.

 

Malang sekali Glomac gagal menyerlah apabila sektor hartanah terus terjejas dalam era pandemik COVID-19. Harga sahamnya jatuh merudum pada 24 Nov 2020 kepada 30 sen dengan terendah 24 sen dan tertinggi hanya 38 sen sepanjang 2020. Satu lagi strategi kaedah belian balik bertukar satu tragedi………………..

 

aaa
Glomac syarikat Bumiputera patuh syariah sahamnya ditutup rendah 30 sen pada 24 Nov 2020 gagal dalam kaedah belian semula sahamnya!

 

Satu lagi contoh senaraian awam berstatus halal milik Melayu, Ranhill secara konsisten pada 3 Mac 2018 mula membeli balik sahamnya pada harga 93. Menyusul belian semula adalah pada 13 April 2018 pada harga RM1.00-RM1.03 sebanyak 5.11 juta saham.

 

ranhill
Ranhill Holdings adalah syarikat senaraian patuh syariah yang terlibat dalam sektor utiliti gagal dalam mewajarkan kaedah belian semula sahamnya yang ditutup rendah 84 sen pada 24 Nov 2020.

 

Pada mulanya ia kelihatan satu strategi yang berjaya apabila harganya naik kepada 103 sen daripada terendah 82 sen. Namun, Ranhill adalah juga senasib dengan Glomac atau yang sewaktu dengannya apabila harganya pada 24 Nov 2020 ditutup rendah 84 sen daripada tertinggi RM1.17 sepanjang 2020. Satu lagi tragedi kepada syarikat senaraian dalam kaedah belian semula gagal menepati motif asalnya untuk menaikkan harga…….

 

Belian Semula Era Pandemik COVID-19

Sejak awal 2020, syarikat-syarikat senaraian daripada pelbagai sektor mula mempratktiskan kaedah belian semula di Bursa Malaysia. Namun kita fokus kepada kilang sarung tangan yang mendapat manfaat besar era pandemik COVID-19 seperti yang saya rumuskan dalam artikel saya pada 23 Sep 2020.

 

Jom kita ambil contoh Top Glove yang juga patuh syariah:

Mengikut rekod yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Top Glove sudah membelanjakan hampir RM1 bilion untuk membeli semula sahamnya di pasaran terbuka. Paling menarik Top Glove membuat belian semula secara berulang dan berkala sejak September 2020 lagi dalam 9 urusniaga blok saham!

 

Namun para penganalisis saham mula mempertikaikan kawajaran pengurusan Top Glove yang sudah membelanjakan hampir RM1 bilion sebab ia dianggap keputusan urusniaga tidak produktif bagi proses pembesaran kilangnya. Ya adakah ia kelihatan satu strategi atau tragedi melihat kepada nilai urusniaga, jumlah saham, harga belian dan pastinya tempoh singkat dalam masa hanya tiga dalam bulan sahaja?

 

aaa
Top Glove melakar sejarah korporat Malaysia apabila membelanjakan hampir RM1 bilion untuk membeli semula sahamnya menimbulkan soalan harga sahamnya akan terjejas apabila 28 kilangnya diarah tutup pada 23 Nov 2020?

 

Apakah dengan kekuatannya yang memilik 21,000 pekerja, 47 buah kilang, 750 pusat pengeluaran dan kapasiti 90,000 unit akan menyaksikan harga saham Top Glove boleh kekal tinggi walaupun prestasi hebatnya tercemar dan tercalar apabila 28 kilangnya diarah tutup secara berperingkat mulai 24 Nov 2020 apabila 2,700 pekerjanya disahkan positif COVID-19?

 

Harga saham Top Glove ditutup rendah di bawah paras RM7 pada 24 Nov 2020!

(Bersambung………………..)

 

 

Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib  2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020.

aaa

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags