Bawa peluang baharu kepada sektor perbankan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Bawa peluang baharu kepada sektor perbankan - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perbankan susulan pelancaran Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 yang dilihat mampu membawa peluang baharu kepada sektor perbankan di negara ini. 

 

Firma itu percaya inisiatif tersebut akan memberi kesan yang besar kepada landskap perbankan berbanding yang lain, meskipun tempoh masanya kekal tidak menentu. 

 

Menurutnya, perkara utama yang diambil kira ialah peralihan seluruh ekonomi kepada ekonomi rendah karbon, walaupun masih terdapat kebimbangan mengenai pelaksanaan, sumber pembiayaan dan kebolehcapaian.

 

"Apa yang kami perhatikan di sini, ialah skala kewangan yang diperlukan untuk usaha tersebut serta sumber pembiayaan, memandangkan peralihan itu bukanlah sumber keuntungan yang dijamin (untuk membayar kos peralihan). 

 

"Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan kemudahan peralihan karbon rendah berjumlah RM1 bilion untuk menggalakkan dan menyokong perniagaan kecil dan sederhana mengamalkan amalan perniagaan yang mampan, tetapi mengharapkan bank memberi subsidi pada tahap kos tertentu, akan mengakibatkan pemampatan margin," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Pelan induk tersebut yang dilancarkan 24 Januari lalu menggariskan 5 keutamaan bagi menggalakkan sistem kewangan menjamin pertumbuhan jangka panjang, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran bersama.

 

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ia mengenalpasti 5 keutamaan yang akan memacu usaha bank pusat itu dengan kerjasama kerajaan, industri perniagaan dan enterpris sosial serta pemegang taruh lain untuk menggalakkan sistem kewangan yang akan menjamin pertumbuhan jangka panjang, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran bersama.

 

Keutamaan itu ialah membiayai transformasi ekonomi Malaysia; meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan; memajukan pendigitalan sektor kewangan; meletakkan sistem kewangan untuk memudahkan dan peralihan teratur kepada ekonomi yang lebih hijau dan memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam.

 

Malah, pelan induk itu juga akan menyelaraskan sektor kewangan dengan aspirasi negara untuk tidak hanya menjadi ekonomi nilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk laluan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research kekal optimis dengan kesan perubahan yang dicadangkan ke atas bank, walaupun kekurangan butiran dalam laporan tersebut.

 

Namun, firma itu berpendapat terdapat beberapa perkara yang akan membawa kepada peluang baharu terhadap sektor perbankan, antaranya, kemudahan akses bank kepada rangkaian sumber data yang lebih luas mengenai peminjam dan menggalakkan ekosistem pembiayaan alternatif. 

 

Selain itu, inisiatif tersebut juga merombak semula ekosistem pembiayaan mikro semasa, menambah baik akses bank kepada segmen baharu peminjam, melaksanakan usaha berterusan untuk membangunkan pasaran derivatif dan penggunaan urus niaga bercagar dalam pasaran wang domestik. 

 

"Dalam hal ini, akses yang lebih baik kepada sumber data mengenai peminjam akan membantu bank membuat keputusan pemberian pembiayaan yang lebih baik.

 

"Perlu juga diambil perhatian bahawa majoriti inisiatif itu adalah untuk tujuan daya tahan pasca pandemik dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada peningkatan kecairan pasaran dan daya tahan terhadap kejutan.

 

"Pada masa sama, kami juga berbesar hati kerana laporan itu tidak menyebut bahawa BNM akan lebih ketat dalam keperluan modal," jelasnya. - DagangNews.com