Bahasa Melayu di persada dunia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 21 May 2022

BAHASA MELAYU DI PERSADA DUNIA

Sebuah wawancara Dewan Bahasa & Pustaka

 

 

 

PADA 14 Mei 2022, DBP telah mengadakan siri wawancara di portal JendelaDBP bersempena persiapan sebelum Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 22-24 Mei 2022 yang bakal dihadiri lebih 70 ahli akademik tempatan dan antarabangsa.

 

Pada sesi keempat ini Prof Datuk Seri Awang Sariyan telah menjemput Datuk Zainal Abidin, Ketua Gapena , Datuk Periasamy Muthan, Penganalisis  Semasa dan juga saya sebagai Penggiat Budaya.

 

Beliau membuka sesi wacana dengan mengingatkan hadirin bahawa usul untuk membawa Bahasa Melayu ke persada dunia telah bermula dari tahun 1980an lagi. Kini hampir empat dekad telah berlalu, namun aspirasi ini masih belum tercapai.

 

Di sini, saya kongsikan petikan pendapat saya bersempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu tersebut.


 

Prof Datuk Seri Awang Sariyan: Puan Ninot. Atas nama globalisasi dan keutamaan kepada ekonomi, ada yang berpendapat bahawa usaha memulihara warisan bangsa seperti bahasa, sastera, seni budaya dan sejarah sesuatu yang tidak relevan lagi. Apa komen Puan?

 

Ninot Aziz: Sebenarnya, mungkin saya boleh katakan bahawa “Tanpa kekuatan warisan bangsa-bahasa, seni dan budaya serta sejarah” kita tidak mungkin mencapai kekuatan ekonomi, atau berjaya menyerlah sebagai sebuah BANGSA dalam arus globalisasi.”

 

Untuk mencapai kejayaan di mana-mana bidang, kekuatan identiti itu amat penting dan jatidiri ini datang dari warisan bangsa yang kuat.

 


 

JendelaDBP

 


 

Kita lihat hari ini, negara atau tamadun yang berjaya mempunyai kekuatan bangsa yang kuat – memulihara Bahasa, Seni, budaya dan sejarah membawa kepada kekuatan jatidiri negara. Ia menjadi benteng kepada kedayatahanan, kekuatan identiti nasional, payung kepada pembinaan negara.

 

Kita ambil contoh – Korea merupakan satu-satunya negara yang menggunakan Bahasa Korea di dunia. Satu masa dulu, Korea Selatan melihat ke Malaysia untuk inspirasi. Kini satu dunia melihat Korea Selatan  sebagai mercu tanda kejayaan.

 

Mereka mempamerkan kekuatan budaya mereka dalam segala segi – melalui budaya dan seni, dunia perfileman, melalui teknologi dan penggunaan Bahasa mereka. Filem Korea pada tahun 2019, memenangi Pesta Filem Akademi, satu kejayaan luar biasa oleh sebuah filem asing.

 

Ini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi melalui dasar kebudayaan yang terperinci bertahun lamanya.

 

 

Hallyu Wave

 

 

Selepas Krisis Ekonomi 1997, kerajaan Korea menguatkan dasar Kebudayaan Korea dan Gelombang Korea atau Hallyu Wave tercetus. China juga sama. Selepas tragedi Tiannamen, tindakan drastik kerajaan melihat China bertukar wajah dan kejayaan demi kejayaan menjadi milik mereka – dari segi dunia kreatif, sains dan teknologi, apatah lagi, ekonomi.

 

Jadi saya boleh katakan di sini bahawa sebenarnya, tanpa budaya dan kekuatan budaya kita tidak mungkin mencapai kekuatan ekonomi dan negara.

 

Mungkin kita telah tersalah haluan di zaman lampau. Pertumbuhan ekonomi pesat telah mencetuskan budaya yang mengejar wang ringgit semata-mata.  Kekuatan budaya dan nilai-nilai negara kita agak terkesan.

 

Defisit bahasa, seni dan budaya melemahkan identiti kebangsaan kita semua.

 

 

PM

 

 

Prof Datuk Seri Awang Sariyan: Kita  beralih kepada agenda pengantarabangsaan budaya negara kita, termasuk bahasa Melayu yang ingin diangkat sebagai bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di forum antarabangsa. Yang penting kini pelan tindakan. Sebagai penggiat warisan budaya, apa langkah praktis yang Puan sarankan untuk mengisi agenda pengantarabangsaan itu?

 

Kekuatan bahasa saling bergantung pada kekuatan tamadun. Pada zaman tamadun Kedah dan tamadun Melaka, kekuatan bangsa memastikan kekuatan bahasa. Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa antarabangsa. Kita sebenarnya lalai menjaga Bahasa Melayu.

 

Kekuatan Bahasa Melayu mestilah bermula di negara negara yang mendukung Bahasa Melayu itu sendiri. Kita mestilah benar-benar serius dalam menguatkan penggunaan Bahasa Melayu di sekolah dan dalam masyarakat. Tidak boleh ada segelintir masyarakat yang tidak fasih atau segan-silu menggunakan Bahasa Melayu.

 

Bahasa Melayu ini sebenarnya landasan kepada penyatuan negara, bukan sebaliknya. Saya terpaksa berterus-terang sikap kita dalam masyarakat mencerminkan ketelusan kita mengangkat Bahasa Melayu sebagai satu tunggak Negara.

 

Contohnya, kita ada pengacara radio yang tersipu-sipu mengaku penguasaan Bahasa Melayu mereka agak kurang baik. Apa mesej yang ingin disampaikan? Golongan ‘atasan’ pula kurang menguasai Bahasa kerana  menganggapnya serba kekurangan. Apakah benar “those with status conscious use English?”

 

Saya sedih sebenarnya memikirkan isu ini telah menjadi isu politik dua negara. Kita boleh menggunakan kaedah kerjasama kedua-dua negara menaikkan pantun sebagai Warisan Dunia kepada UNESCO baru-baru ini.

 

Kerana pantun, seperti juga Bahasa Melayu satu warisan budaya dari satu zaman sebelum wujudnya Malaysia dan Indonesia. Bahasa Melayu telah ujud dari zaman Sriwijaya dan prasasti Talang Tuwo itu buktinya di mana bahasa yang digunakan pada abad ketujuh itu bahasa Melayu Kuno.

 

 

ninot

 

 

Demi mencapai agenda ini, jangan berterusan tidak kesampaian berdekad lamanya lagi, saya cadangkan 5 langkah penting menerajui agenda pengantarabangsaan:

 

  1. Kekuatan dasar-dasar berkenaan bahasa dan budaya, terutama dari segi pelaksanaan
  2. Kekuatan bahasa dan budaya dalam pendidikan
  3. Pemerkasaan bahasa dan budaya dalam masyarakat melalui industri jingga atau kreatif (Berilah belanjawan yang lebih pada MOTAC, JKKN, ASWARA, MyCreative dan sebagainya untuk melestarikan budaya tradisional)
  4. Kekuatan bahasa dan budaya melalui kesefahaman serantau
  5. Kekuatan promosi bahasa dan budaya melayu di persada antarabangsa

 

Kita perlukan generasi pemimpin yang gigih memperkasa  nilai teras  bahasa dan budaya yang dapat membina masyarakat muhibah  dalam dunia serba-serbi  moden, tanpa mengorbankan identiti.

 

Prof Datuk Seri Awang Sariyan: "Bahasa jendela tamadun". Bagaimana Puan melihat peranan bahasa Melayu dalam mewujudkan persefahaman antara tamadun serantau dan sejagat yang meliputi aspek sosiobudaya,ekonomi, politik dan lain-lain?

 

Saya memandang dua negarawan hebat untuk soalan ini. Pertamanya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang amat tersohor sebagai mantan Timbalan Perdana Menteri.

 

Beliau pernah berkata, “Adalah menjadi kewajipan setiap rakyat yang memberikan taat setianya kepada negara ini melengkapkan diri dan mempelajari bahasa kebangsaan.” Tun menyamakan Taat Setia pada Negara dengan penguasaan Bahasa Kebangsaan!

 

 

ninot

 

 

Beliau juga menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu buat kali pertama sebagai wakil Malaya pada bulan September 1957 berbaju Melayu lengkap berkeris sejurus lepas Merdeka .

 

Tun amat sedar kepentingan budaya dan bahasa dalam menegakkan jati diri negara.

 

Kedua, Ki Hadjar Dewantara, Menteri Pendidikan Pertama Indonesia.

 

Bapa Pendidikan Republik Indonesia, aktivis Ki Hadjar Dewantara (yang kemudian menjadi Menteri Pendidikan pertama) -- telah seawal 1916 mengajukan supaya bahasa Melayu diajar kepada kanak-kanak kepulauan Indonesia dan bukan mana-mana suku bahasa sesuatu etnik.

 

 

Ki Hadjar Dewantara
Ki Hadjar Dewantara

 

 

Beliau telah membuat perbandingan, Bahasa Indonesia atau Melayu yang merupakan bahasa komuniti Melayu Sumatera yang dari segi bilangan adalah kecil, namun tetap menjadi lingua franca bagi keseluruhan kepulauan kerana mudah difahami,  dipelajari dan digunakan. Atas sebab-sebab  itulah bahasa Melayu Sumatera amat sesuai untuk menyatukan seluruh ‘negara baru’ yang sejarahnya begitu panjang. 

 

Bahasa Melayu, yang pada satu masa lingua franca seluruh rantau,  dari Sriwijaya, hingga kerajaan Maynila, ke Patani, Champa dan Langkasuka, Kedah dan Melaka, Perak dan Johor,  juga milik semua orang di kepulauan ini.

 

Generasi pemimpin hari ini mestilah mempercayai keunggulan Bahasa Melayu dan memperkasa nilai teras yang dapat membina masyarakat yang harmoni dan budaya yang moden, tanpa mengorbankan identiti. Tidak cukup dengan kata-kata retorik.

 

Apabila negara lain melihat kita begitu serius dalam menguatkan bahasa dan budaya kita, ini akan diikuti rasa hormat dan kebersamaan.

 

Bahasa mencetus Bangsa, 
Bangsa mencetus Tamadun

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA 

Portfolio Tags