Awasi elemen penyelewengan dan ajaran sesat masih wujud di Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 4 February 2022

Awasi elemen penyelewengan dan ajaran sesat masih wujud di Malaysia

 

 

 

AJARAN sesat di Malaysia sentiasa timbul sejak dahulu hingga kini dan telah banyak dikesan berlaku dalam kalangan masyarakat.

 

Suatu ketika dahulu, ajaran Matahari atau Taslim terkenal sebagai ajaran sesat paling lama yang wujud sekitar tahun 1870 dan berpusat di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

Seterusnya, kemunculan ajaran Ayah Pin sebagai pengasas dan memiliki pengikut seramai 22,000 telah memulakan ajaran sesat Kerajaan Langit pada tahun 1979 di Terengganu.

 

Mutakhir, pada tahun 2021, Sittah Annur sebagai pemimpin Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) telah mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan pada masa depan kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan akan memimpin pasukan bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

 

Ajaran sesat didefinisikan sebagai ajaran yang bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias.

 

Malah bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah, syariat dan akhlak yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.


 

irsyad

 


Kategori ajaran sesat merangkumi tiga aspek iaitu kepercayaan atau akidah, pengamalan atau syariat dan akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

 

Pertama, ajaran sesat dari aspek kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan ASWJ seperti Syiah, Murjiah, Khawarij, Qadariyyah, Jabariyyah dan Muktazilah.

 

Sementara fahaman moden yang sesat pula adalah seperti Nasionalisme, Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Kapitalisme dan Komunisme.

 

Kedua, ajaran sesat dari aspek pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang direka-rekakan, sekali gus menyalahi sumber syariat Islam iaitu al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias.

 

Contohnya ialah mengamalkan solat fardu kurang atau lebih daripada lima waktu, melaksanakan zakat serta puasa yang menyalahi kaedah pelaksanaan yang sedia maklum dan sebagainya.

 

Ketiga, ajaran sesat dari aspek pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya seperti pengagungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan.

 

Lazimnya, kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat dengan menisbahkan nama kumpulan dengan nama-nama tarekat sufi yang muktabar tetapi hakikatnya tiada kaitan langsung dengan aliran tarekat tersebut.

 

Dakwaan palsu tersebut boleh dikesan dari sudut wujud atau tidak pengijazahan dan sanad sesuatu aliran tarekat yang menjadi sandaran.

 

 

kerajaan langit
Tapak `kerajaan langit' di Terengganu.

 

 

Terdapat beberapa doktrin atau prinsip yang menjadi asas kepercayaan seterusnya pengamalan kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat.

 

      i.         Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam

     ii.         Meyakini atau mengikuti akidah yang bercanggah dengan syarak

    iii.         Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran

   iv.         Mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran

     v.         Melakukan pentafsiran al-Quran tanpa kaedah yang betul

   vi.         Mengingkari kedudukan hadis Nabi SAW sebagai sumber ajaran Islam

  vii.         Merendahkan para nabi dan rasul

 viii.         Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir

   ix.         Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak

     x.         Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syarak

 

Demikianlah kategori dan doktrin ajaran sesat yang boleh dijadikan panduan masyarakat Islam dalam mengenali dan memahami sesuatu ajaran yang bertentangan ajaran Islam yang benar.

 

 

sesat
Ajaran Matahari atau Taslim yang wujud sejak 1870, berpusat di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang diwartakan di dalam fatwa Jabatan Mufti Pulau Pinang sebagai ajaran sesat pada tahun 2010.

 

 

Masyarakat Islam disarankan sentiasa belajar meningkatkan ilmu pengetahuan agama yang benar dan berpegang dengan akidah ASWJ supaya tidak terpengaruh dan terjebak dengan ajaran sesat.

 

Akhirnya, pihak berautoriti agama di Malaysia perlu memainkan peranan yang penting dalam membendung kewujudan dan penyebaran ajaran sesat bagi memastikan kesucian agama Islam terpelihara.- DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags