Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 24 September 2022

Awas, Bersedia Hadapi Badai Ombak Ekonomi 2023!

 

 

Badai ombak ekonomi bakal melanda! Tahun yang sukar dan mencabar di hadapan!

 

Kemelesetan ekonomi dijangka akan melanda seluruh dunia, bermula dengan Amerika Syarikat menjelang akhir 2022 sebelum ianya merebak ke seluruh dunia pada tahun hadapan.

 

Keadaan ekonomi semasa telah menjelaskan kesemuanya. Kebanyakan pakar ekonomi percaya bahawa kemelesetan ekonomi diramalkan akan berlaku pada tahun hadapan.

 

Bank Dunia juga memberi amaran tentang ini! Dengan tekanan inflasi yang semakin hari semakin teruk (naik secara mendadak), pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengetatan dasar monetari agresif yang diambil oleh hampir kesemua bank pusat di seluruh dunia, peluang untuk kemelesetan ekonomi berlaku pada tahun 2023 adalah cerah!

 

 

Eksponen

 

 

Bersandarkan pada kajian, dijangkakan kadar rizab persekutuan Amerika Syarikat akan terus meningkat dan bakal mencecah paras lebih daripada 4 peratus! Diramalkan bank pusat seluruh dunia juga bakal mengikuti tindakan ini.

 

Tindak balas hasil tindakan agresif ini bakal memperlahankan aktiviti ekonomi – kesemua sektor bakal terkesan dan penguncupan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berlaku.

 

Jika ini terjadi, ia bakal memenuhi definisi teknikal kemelesetan ekonomi dan menyebabkan kemelesetan ekonomi yang panjang, teruk dan mungkin akan berlarutan untuk keseluruhan tahun 2023.

 

Memahami Kemelesetan Ekonomi

Umum mengetahui, ekonomi mempunyai kitarannya tersendiri – turun dan naik. Bak gelombang pasang surut air di lautan, apabila ekonomi naik, ia dipanggil pertumbuhan ekonomi tetapi apabila ia turun, ia dipanggil penguncupan ekonomi atau kemerosotan ekonomi.

 

Kemelesetan ekonomi boleh didefinisikan sebagai kemerosotan atau penurunan yang ketara, meluas dan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi.

 

Kemelesetan berlaku selepas ekonomi mencapai puncak kitarannya dan tersebar atau merebak melibatkan keseluruhan aktiviti ekonomi yang berpanjangan lebih daripada beberapa suku.

 

Dalam membuat jangkaan bila akan berlakunya kemelesetan ekonomi, tidak ada satu kaedah yang khusus boleh digunakan untuk meramal bila akan berlakunya kemelesetan ekonomi secara tepat.

 

 

Eksponen

 

 

Tetapi mengikut kaedah kebiasaan atau peraturan yang biasa digunakan, kemelesetan ekonomi berlaku apabila hasil KDNK melalui penurunan dua suku berturut-turut.

 

Tumpuan tidak terhad hanya kepada KDNK sahaja. Dengan menggunakan penunjuk ekonomi lain seperti permintaan pengguna, kadar pengangguran serta pekerjaan, kadar pendapatan dan lain-lain penunjuk, ini semua boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menentukan keadaan sebenar ekonomi sama ada sesebuah negara mengalami kemelesetan ataupun tidak.

 

Beberapa bulan sebelum kemelesetan bermula, ekonomi akan mula menunjukkan tanda-tanda penurunan atau merosot dalam aktiviti ekonomi.

 

Tetapi ini bukanlah bukti yang menunjukkan bahawa kemelesetan mula berlaku kerana proses untuk menentukan sama ada sesebuah negara berada dalam kemelesetan sebenar atau tidak adalah tidak semudah itu.

 

Ia  mengambil masa yang lama sebelum pengisytiharan rasmi dapat di buat. Ini kerana proses untuk menentukan kemelesetan ekonomi mengambil masa yang panjang (ada kalanya mengambil masa sehingga setahun) kerana ia melibatkan semakan (selepas pengumuman awal) dan menunggu data yang mencukupi dengan hanya mengambil penunjuk ekonomi yang penting sahaja untuk menentukan kedudukan sebenar ekonomi.

 

Kenapa Ia Berlaku?

Memahami bagaimana kemelesetan ekonomi berlaku telah menjadi salah satu bidang penyelidikan yang popular baik dikalangan ahli akademik mahupun pakar ekonomi.

 

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kemelesetan ekonomi berlaku. Antaranya adalah apabila berlaku perubahan mendadak kos (harga) yang digunakan dalam menghasilkan barangan dan perkhidmatan.

 

Sebagai contoh, kenaikan mendadak harga komoditi seperti bahan api boleh menjadi petanda kemelesetan ekonomi. Apabila kos meningkat, ia memberi implikasi terhadap keseluruhan pasaran – harga menjadi mahal.

 

Dan apabila ini berlaku, kesan langsung adalah membawa kepada penurunan permintaan secara agregat.

 

 

Eksponen

 

 

Sejarah membuktikan bahawa kebanyakan kemelesetan ekonomi yang lepas berakar umbi dari pasaran kewangan seperti krisis mata wang yang membadai Asia pada tahun 1997 dan krisis kewangan global yang berlaku pada tahun 2008. Percaya atau tidak! Itu adalah kenyataan!

 

Kemelesetan ekonomi juga boleh dicetuskan oleh keputusan bank pusat sesebuah negara dalam usaha untuk mengurangkan kadar inflasi baik secara dasar monetari ataupun fiskal.

 

Melalui dasar monetari, peningkatan kadar asas akan meningkatkan kadar faedah pinjaman.

 

Kadar faedah akan menyebabkan kos ataupun pinjaman menjadi mahal. Apabila ini berlaku, secara langsung, tekanan kewangan akan mulai dirasai oleh peminjam dan mereka mula berhadapan dengan kesukaran dalam memenuhi obligasi hutang mereka.

 

Kebanyakan peminjam mula berhadapan dengan prosiding bankrap dan inilah adalah perkara biasa yang terjadi semasa kemelesetan ekonomi.

 

Ada banyak lagi faktor yang  menyumbang kepada kemelesetan ekonomi, dan ianya sukar diramalkan terutamanya apabila melibatkan sesuatu yang tidak dapat dijangka (black swam event) seperti pandemik COVID-19.

 

Tetapi berdasarkan trend, statistik dan aktiviti melalui penunjuk ekonomi serta kemelesetan ekonomi lepas (sejarah) yang telah didokumenkan, ahli ekonomi dapat meramalkan dan membuktikan kemelesetan bakal berlaku.

 

Namun keterukan ataupun kesan kemelesetan ini dari segi tempoh (berapa lama kemelesetan berlaku) amatlah sukar untuk diramalkan.

 

Ia bergantung kepada dasar ekonomi dan daya tahan sesebuah negara dalam proses pemulihan ekonomi selepas kemelesetan berlaku.

 

 

Eksponen

 

 

Kesan Terhadap Ekonomi

Kemelesetan ekonomi akan memberi kesan menyeluruh terhadap aktiviti ekonomi. Apabila bank pusat mula menaikkan kadar asas, pengguna akan mula berjimat dan merancang perbelanjaan.

 

Pada masa yang sama, hampir kesemua perniagaan akan memulakan langkah penjimatan dengan mengurangkan kos perbelanjaan mengurus dan operasi.

 

Apabila ini berlaku, perniagaan akan mula mengalami kejatuhan keuntungan mahupun menanggung kerugian.

 

Dalam kenaikan kadar inflasi yang semakin menaik, kos pengeluaran mahupun perkhidmatan meningkat ditambah dengan kerugian.

 

Ini menyebabkan perniagaan mula mengecilkan saiz operasi dengan menamatkan atau memberhentikan pekerja. Kesannya kadar pengangguran mula meningkat.

 

Seperti kesan domino, apabila kadar pengangguran meningkat, banyak yang akan bankrap kerana tidak mampu lagi membayar pinjaman mereka akibat kehilangan pekerjaan.

 

Bank dan penyedia kredit akan mula mengambil langkah berhati-hati dengan mengurangkan jumlah pinjaman dan hanya menyediakan kemudahan pinjaman kepada mereka yang benar-benar layak.

 

Seterusnya ia membawa kepada penurunan dalam aktiviti ekonomi akibat pengurangan perbelanjaan dan pelaburan, duit dalam kitaran ekonomi semakin berkurang dan kemelesetan mula berpanjangan.

 

Derita kemelesetan ini dirasai oleh semua pihak yang terlibat dalam kitaran ekonomi!

 

 

Eksponen

 

 

Kemelesetan Itu Lumrah Kitaran Ekonomi!

Sebenarnya kemelesetan adalah sebahagian daripada kitaran ekonomi. Dalam usaha untuk mengekang kemelesetan berlaku, ia sebenarnya tidak dapat dielakkan.

 

Biarpun kemelesetan ekonomi ini bersifat sementara, tetapi amatlah penting untuk kita sebagai pengguna untuk memahami, mengenali tanda-tanda dan gejala kemelesetan supaya sentiasa bersedia apabila ia berlaku.

 

Dengan tekanan inflasi yang mengila diikuti ramalan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, kita perlu bersedia dan akur jika kemelesetan ini terjadi pada tahun depan! - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

Portfolio Tags