UPM anjur program kesedaran bahaya mikroplastik kepada komuniti di Pantai Morib | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM anjur program kesedaran bahaya mikroplastik kepada komuniti di Pantai Morib

Pelajar UPM mendekati pengunjung dengan memberikan risalah bagi menerangkan bahaya mikroplastik dan nanoplastik di Pantai Morib, Banting, Selangor baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kelab Mahasiswa Kimia (KMK), Jabatan Kimia, Fakulti Sains (FS) menganjurkan program kesedaran mengurangkan penggunaan bahan plastik yang menyumbang kepada penghasilan mikroplastik dan nanoplastik buat pengunjung di Pantai Morib, baru-baru ini.

 

Penasihat program, Prof Madya Dr Yusran Sulaiman berkata, program yang dikenali ‘We Protect We Survive (WPWS)’ itu memberi pendidikan kepada komuniti di Pantai Morib bahawa pencemaran mikroplastik dan nanoplastik menjadi ancaman yang memberi mudarat kepada hidupan laut serta manusia.

 

Beliau berkata, program menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) itu juga secara tidak langsung mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga ekosistem marin seperti sasaran Matlamat Pembangunan Mampan 14 (SDGs) demi pembangunan mampan.

 

Katanya, beberapa aktiviti interaksi seperti permainan mencari mikroplastik dan kuiz mengenai mikroplastik dan nanoplastik telah dijalankan kepada pengunjung bagi mencapai objektif program ini. 

 

"Selain itu, terdapat juga sesi penerangan risalah maklumat berkenaan pencemaran mikroplastik dan nanoplastik kepada para pengunjung di sekitar pantai.

 

"Melalui aktiviti ini, ia dapat memberikan impak kepada orang awam untuk menjaga kebersihan pantai dan cakna dengan kesan bahaya mikroplastik dan nanoplastik terhadap ekosistem," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

upm
Para pelajar UPM bersama penasihat program dan wakil MPKL ketika melaksanakan program tersebut di Pantai Morib, Banting, Selangor baru-baru ini.

 

 

upm

 

 

Menurut Yusran pelaksanaan program seperti itu juga bertujuan memperkasakan kemahiran kepimpinan pada 17 pelajar FS UPM dan mahasiswa dalam melaksanakan program. 

 

Katanya, mahasiswa dapat membuka minda dan meningkatkan pelbagai kemahiran insaniah untuk diamalkan pada masa akan datang selain mendukung Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang. - DagangNews.com