Untung bersih Alliance Bank melonjak 26% kepada RM130 juta bagi 4QFY23, isytihar dividen 10 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Alliance Bank melonjak 26% kepada RM130 juta bagi 4QFY23, isytihar dividen 10 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) meningkat 26.3% kepada RM130 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23) daripada RM103 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank menjelaskan bahawa peningkatan tersebut didorong oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan elaun lebih rendah berikutan kerugian kredit yang telah dijangka.

 

Pendapatan suku dalam tinjauan turut naik 3.78% kepada RM468.6 juta daripada RM451.5 juta sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 8.41 sen daripada 6.66 sen.

 

Bank tersebut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen yang akan dibayar pada 28 Jun.

 

Bagi tahun penuh, keuntungan bersih bank itu telah meningkat 18.3% kepada RM677.9 juta daripada RM572.8 juta, manakala pendapatan naik 2.67% kepada RM1.92 bilion daripada RM1.87 bilion sebelumnya.

 

Alliance Bank menjelaskan bahawa dalam suku semasa, pendapatan faedah bersih bank meningkat 11.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.65 bilion disebabkan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam berkata bank itu terus melabur sumber untuk memanfaatkan lapan peluang pertumbuhan, membina kelebihan daya saing dalam kelajuan, perkhidmatan dan pemperibadian.

 

“Kami telah melancarkan lebih 30 projek di bawah lapan teras itu, memfokuskan pada projek berimpak tinggi dengan kompleksiti rendah, serta inisiatif kemampanan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Alliance Bank telah memperoleh RM180 juta dalam pembiayaan tenaga boleh diperbaharui pada FY23 dan menjelang FY24, bank menyasarkan untuk mengembangkan ia sebanyak 70% kepada RM300 juta.

 

Sementara itu, bank itu telah mengenal pasti Sarawak dan Pulau Pinang sebagai wilayah tumpuan utama dalam rancangannya untuk mempercepatkan kemajuan dalam koridor ekonomi yang berkembang pesat di negara ini. -DagangNews.com