Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah, TRC Synergy Berhad secara aktif menghantar tender bagi projek infrastruktur dan kerja-kerja pembinaan lebih daripada RM2 bilion di seluruh Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan TRC Synergy, Tan Sri Sufri Mohd. Zin berkata, syarikat mencatatkan pesanan buku pembinaan berjumlah RM1.5 bilion setakat ini, yang mampu bertahan sehingga 2023.
“Dengan pengalaman lebih daripada tiga dekad dan projek-projek bernilai RM9 bilion berjaya disiapkan setakat ini, TRC merupakan salah satu kontraktor utama di dalam negara.

“Beberapa daripada projek infrastruktur penting yang telah dikendalikan termasuk kerja-kerja pembinaan bagi projek Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh dan Sambungan Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.
“Keupayaan yang menyeluruh kami termasuklah pembinaan hospital, universiti, lapangan terbang, lebuh raya, laluan kereta api, jambatan, pusat latihan ketenteraan dan pangkalan tentera laut atau kapal selam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, nilai pesanan buku itu melibatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo, MRT 2 dan LRT3, bangunan pelbagai guna dan kediaman bertingkat di Putrajaya selain pembinaan Maktab Rendah Sains MARA Ranau di Sabah.
Kesemua nilai kontrak projek yang sedang berjalan mencecah RM3.0 bilion.
“Walaupun 2020 merupakan tahun yang sukar buat industri pembinaan, namun kami mampu untuk mempertahankan keuntungan didorong keluasan dan kedalaman projek yang meliputi sektor awam serta swasta, selain projek pembangunan dalaman kami sendiri.
“Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk terus memperkukuh model perniagaan dalam mencapai kemampanan lebih baik.
“Sebagai tambahan kepada pengisian pesanan buku pembinaan, kami juga sedang bekerja ke arah melancarkan lebih banyak projek pembangunan hartanah pada tahun 2021 dan 2022, terutamanya kediaman bertingkat mampu milik di Lembah Klang yang menerima permintaan tinggi,” katanya lanjut. - DagangNews.com








