KUALA LUMPUR 11 Mac - Selaras dengan visi pelancongan, Kerajaan Negeri Selangor yang diwakili Tourism Selangor memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan dan Ejen Pelancongan Republik Czech (ACCKA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan Estonia (EFTL) dan DISCOVA, sebuah syarikat pengurusan destinasi global.
Tourism Selangor memaklumkan, penyertaan kali ke-6 bagi Internationale Tourimus Borse (ITB) di Berlin untuk 2024 itu membawa kepada kerjasama dua hala antara Selangor dan beberapa negara Eropah, Czech dan Estonia.
Katanya, kerjasama antara entiti gabungan dan persatuan pengembaraan diperkukuh melalui sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang diadakan oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan MATTA.
Ia menghimpunkan pemain industri daripada ACCKA, Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan Estonia EFTL, Pusat Bandar Lufthansa, Persatuan Ejen Pelancongan & Operator Pelancongan Belanda (ANVR) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Operator Pelancongan Eropah (ECTAA), katanya.
"Kerjasama dengan organisasi berkaitan dan persatuan-persatuan pelancongan dijangka akan menggerakkan siri promosi silang bagi lawatan ke Selangor dan pembangunan pakej pelancongan untuk pasaran yang berkaitan.
"Kerjasama ini bertujuan untuk menarik lebih 7 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor pada 2025. Misi 6 hari di Berlin ini sejajar dengan kempen pelancongan antarabangsa, 'Splendid Selangor, Take Me Anywhere!'," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis memeterai MoC dengan tiga persatuan pelancongan itu disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Jerman, Datin Dr Adina Kamarudin dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong.

Menurut kenyataan itu, inisiatif itu adalah salah satu dedikasi Selangor untuk memupuk hubungan dua hala dengan negara yang berminat sambil mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan.
Katanya, pameran pelancongan yang berlangsung selama seminggu dari 3 hingga 8 Mac lepas diketuai oleh Tourism Malaysia dan MATTA, bersama delegasi dari Tourism Selangor.
"Misi selama 6 hari itu mengumpulkan lebih 10,000 pemain pelancongan utama di seluruh dunia dari lebih 185 negara dan menerima lebih 120,000 pelawat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, pelancong Eropah biasanya akan bercuti di Selangor secara purata 8 hingga 9 hari untuk melancong di Selangor, sama ada untuk tujuan perniagaan atau bersama keluarga.
"Selangor menyasarkan peningkatan kemasukan pelancong yang mendadak semasa Tahun Melawat Selangor pada tahun 2025, dengan sasaran 2 juta pelancong antarabangsa menjelang tahun hadapan," katanya. - DagangNews.com








