Zus Coffee rancang perluas pasaran ke Pakistan dan Maghribi tahun depan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zus Coffee rancang perluas pasaran ke Pakistan dan Maghribi tahun depan

KUALA LUMPUR 29 Sept – Rangkaian kopi tempatan, Zus Coffee mensasarkan untuk memasuki pasaran Pakistan dan Maghribi pada separuh pertama tahun 2026 sebagai sebahagian daripada visi syarikat untuk memperluaskan jejaknya di luar rantau ASEAN.

 

Pengasas Bersama dan dan Ketua Pegawai Operasi, Venon Tian berkata, pihaknya menjangkakan membuka kedai pertama di Pakistan melalui francais induk tempatan, manakala kedai pertama di Maghribi pula dirancang dibuka pada suku pertama atau kedua 2026.

 

“Kami sedang meneroka peluang di luar ASEAN,” katanya kepada BERNAMA.

 

 

 

 

 

 

 

Katanya, Zus Coffee juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kedainya di Malaysia kepada 850 cawangan. 

 

Di Thailand pula ujarnya, Zuus Coffee merancang membuka 20 kedai, manakala di Filipina, jumlah cawangan dijangka mencecah 190 hingga 200 kedai.

 

Tambah Tian, mereka turut merancang untuk melancarkan cawangan pertama di Indonesia pada suku pertama tahun hadapan.

 

“Kami menjangkakan untuk melepasi tanda aras 1,000 kedai secara keseluruhan menjelang akhir 2025,” katanya.

 

Rantaian Kopi Pantas Berkembang di Asia Tenggara

 

Kini, Zus Coffee kekal sebagai rantaian kopi yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara dengan lebih 900 kedai dan lebih 6,000 pekerja.

 

Mengenai rancangan untuk membawa Zus Coffee ke pasaran saham, Tian menegaskan syarikat memberi fokus kepada pengukuhan pertumbuhan perniagaan terlebih dahulu.

 

“Bagi kami, perniagaan sentiasa menjadi keutamaan berbanding menjalankan urusan korporat. Buat masa ini, kami bergerak langkah demi langkah dan tiada keutamaan untuk disenaraikan di bursa pada masa ini,” ujarnya.

 

Berhubung Belanjawan 2026 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober, Tian berharap kerajaan dapat memberi lebih manfaat dan insentif kepada usahawan Malaysia serta mengutamakan kebajikan sosial rakyat.

 

“Bajet 2026 perlu menjaga kebajikan rakyat. Itu sangat penting.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Berkenaan isu berkaitan kopi, kami berharap ada inisiatif untuk memperkasakan petani dan peniaga kopi tempatan yang mampu menggerakkan ekosistem kopi secara keseluruhan,” tambah Tian.