ZUS Coffee kini tembusi Thailand, sasar 50 cawangan di negara itu pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ZUS Coffee kini tembusi Thailand, sasar 50 cawangan di negara itu pada 2026

KUALA LUMPUR 30 Jan – Rangkaian jenama kopi  Malaysia, ZUS Coffee menyasarkan untuk membuka 50 cawangan di Thailand pada tahun ini susulan pembukaan rasmi pertamanya  di negara itu hari ini.

 

Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya Venon Tian berkata syarikat menghabiskan kira-kira enam hingga tujuh bulan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan untuk memahami pasaran Thailand dengan lebih baik sebelum pelancaran tersebut.

 

“(Kemampuan) memasuki pasaran yang berdaya tahan dan pelbagai seperti Thailand adalah sangat bermakna bagi kami sebagai jenama daripada negara yang kecil. 

 

“Kami merancang untuk membuka 50 cawangan di sini pada 2026 untuk mengukuhkan kehadiran Zus Coffee di salah satu pasaran kopi paling matang di Asia Tenggara,” katanya.

 

Tian berkata pengembangan ini bersandarkan jejas Zus Coffee yang semakin meluas di Malaysia, Singapura, Filipina dan Brunei, serta rancangan untuk memasuki Indonesia tidak lama lagi.

 

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah menghadiri majlis pelancaran di Dusit Central Park, sebuah pusat membeli-belah di Bangkok.

 

ZUS Coffee kini merupakan salah satu rangkaian kopi yang berkembang pesat di Asia Tenggara, dengan lebih 1,000 cawangan dan lebih 8,000 pekerja di seluruh rantau ini.

 

Menumpukan pasaran asalnya, Tian berkata kumpulan itu menyasarkan untuk membuka 200 cawangan baharu di Malaysia pada 2026 yang seiring dengan permintaan pengguna yang kekal kukuh.

 

“Walaupun visi kami dijangka melangkaui ASEAN, Malaysia kekal menjadi lokasi yang menyaksikan permulaan semua perkara. Sejajar perancangan membuka 200 cawangan baharu tahun ini, kami akan memasuki dua pasaran baharu iaitu Indonesia dan Pakistan pada suku pertama,” katanya.

 

Sementara itu, Wan Zaidi menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat Malaysia berkembang ke Thailand, didorong oleh permintaan kukuh serta penerimaan yang positif terhadap jenama Malaysia.

 

“Kalangan jenama Malaysia, terutama sektor makanan dan minuman, perlu mencontohi Zus Coffee dengan berkembang ke Thailand memandangkan pasaran di sini lebih besar manakala produk-produk Malaysia juga dapat diterima dengan baik,” katanya.

 

Ditubuhkan di Malaysia pada 2019, Zus Coffee mengembangkan model operasi runcit baharu yang mengutamakan aplikasi di seluruh Asia Tenggara selain menyasarkan untuk mengendalikan sebanyak 1,300 cawangan menjelang akhir 2026. -- BERNAMA