KUALA LUMPUR 16 Jan — YTL Cement Berhad berhasrat mengurangkan pegangannya dalam Malayan Cement Berhad, melalui pelupusan 7.2 peratus ekuiti, yang dijangka menjana hasil kasar RM755 juta.
Berdasarkan terma tawaran penempatan saham yang dilihat The Edge, kumpulan itu akan melaksanakan penempatan sekunder dipercepatkan meliputi 100 juta saham Malayan Cement berharga RM7.55 sesaham.
Mengikut data Bloomberg, YTL Cement selaku pemegang saham terbesar Malayan Cement pada ketika ini memiliki sebanyak 65.4 peratus ekuiti, diikuti Prudential PLC dengan pegangan 8.43 peratus.
Harga tawaran itu mewakili diskaun 3.58% berbanding harga penutupan saham Malayan Cement iaitu RM7.83 pada 15 Januari 2026, dan diskaun 2.94% bagi harga purata dagangan saham (VWAP) satu hari.
Tawaran tersebut merangkumi pecahan asas sebanyak 65 juta saham, bersamaan kira-kira 4.7% daripada modal saham Malayan Cement yang sedia ada, dengan opsyen penambahan sehingga 35 juta saham lagi.
Sekiranya langkah opsyen tersebut dapat dilaksanakan secara sepenuhnya, jumlah pegangan YTL Cement yang dilupuskan dalam Malayan Cement akan meningkat kemudian kepada kira-kira 7.2 peratus.
Sementara itu pula, proses pembinaan buku sudah ditutup pada pukul 7 malam 15 Januari 2026, manakala proses pembayaran dan pengkreditan saham dijadualkan bermula pada 20 Januari 2026.
Setakat ini, pihak YTL Cement belum lagi memberikan sebarang komen rasmi berhubung usaha pelupusan tersebut.
Saham Malayan Cement melonjak lebih 60% sepanjang tempoh setahun lalu, mencecah paras tertinggi RM8.10
sesaham, iaitu tahap tertinggi sejak Januari 2017. - DagangNews.com








