KUALA LUMPUR 3 Okt - YNH Property Bhd memeterai perjanjian usaha sama dengan Genland Sdn Bhd (GSB) bagi melaksanakan projek pembangunan bercampur bertingkat tinggi di Bangsar South dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM333 juta.
Di bawah perjanjian tersebut, YNH diberikan hak oleh GSB untuk membangunkan projek tersebut di atas tanah seluas 7,235 meter persegi, yang dimiliki oleh pemaju hartanah persendirian itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, YNH yang kini mencatatkan kerugian memberitahu syarikat masih meneliti pelbagai opsyen pembiayaan bagi projek ini, termasuk daripada dana dalaman dan pembiayaan bank.
GSB akan menerima sekurang-kurangnya RM60 juta atau 18% daripada GDV projek tersebut, mengikut mana yang lebih tinggi. Ini membawa anggaran GDV kepada sekitar RM333 juta.
Setakat akhir Jun, YNH mencatatkan tunai dan deposit jangka pendek sebanyak RM31.44 juta, berbanding jumlah pinjaman dan liabiliti pajakan sebanyak RM571.11 juta.
Ini menyaksikan kumpulan berada dalam kedudukan hutang bersih sebanyak RM539.7 juta, dengan nisbah gearan bersih (net gearing) sekitar 0.83 kali.
Pengumuman usahasama terbaru ini hadir hanya beberapa bulan selepas YNH membatalkan usaha sama dengan Chin Hin Group Property Bhd bagi projek perumahan berskala besar di Segambut, Kuala Lumpur.
Sebagai alternatif, YNH menjual tanah seluas 6.49 ekar yang dirancang untuk projek tersebut kepada Chin Hin dengan nilai RM52 juta.
YNH terus menjadi tumpuan sejak Oktober 2023, selepas bekas juruauditnya, Baker Tilly, menyuarakan kebimbangan terhadap nilai RM1.1 bilion projek JV dan projek turnkey yang direkodkan sebagai inventori dalam kunci kira-kira.
Susulan itu, semakan bebas khas telah dijalankan oleh UHY Advisory (KL) Sdn Bhd, dan disiapkan pada April 2025, selepas beberapa kelewatan.
Sepanjang tempoh semakan, YNH turut melaksanakan penyusunan semula lembaga pengarah pada Disember lalu.
Datuk Yu Kuan Huat, pemegang saham sebanyak 4.48%, mengambil alih jawatan Pengerusi Eksekutif daripada abangnya, Datuk Dr Yu Kuan Chon, yang masih menjadi pemegang saham terbesar dengan 24.41%.
Dr Kuan Chon kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, bersama anaknya Yu Jian Loong, manakala anak Kuan Huat, Yu Kai Leun, turut menyertai barisan pengurusan.
Saham YNH ditutup naik satu sen atau 3.39% kepada 30.5 sen pada Khamis, memberi nilai pasaran sebanyak RM158.66 juta. Bagaimanapun, saham syarikat telah menyusut lebih 42% sejak awal tahun ini. - DagangNews.com








