Yayasan Peneraju lantik CIMA Malaysia sebagai Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Peneraju lantik CIMA Malaysia sebagai Institusi Pembelajaran dan Latihan Diluluskan

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 20 Nov – Yayasan Peneraju (YP) memperkukuh kerjasama strategiknya dengan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) melalui pelantikan rasmi CIMA Malaysia sebagai Approved Learning and Training Institution (ALTI), berkuat kuasa September lalu.

 

YP dalam satu kenyataan berkata, pelantikan ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha yayasan memperluas akses kepada laluan pensijilan profesional bertaraf global di bawah skim pembiayaan terbaharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata skim pembiayaan itu membuka peluang kepada bakat Bumiputera untuk mengawal sendiri pembangunan profesional mereka, termasuk memilih penyedia latihan atau ALTI mengikut keperluan masing-masing.

 

“Pada 2026, kami menyasarkan untuk melatih 2,000 Akauntan Bertauliah sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih besar melahirkan 5,000 Akauntan Bertauliah setiap tahun menjelang 2030.

 

“Kami yakin kerjasama ini dapat merealisasikan aspirasi tersebut dan melahirkan profesional Bumiputera berdaya saing yang mampu memimpin di peringkat global,” katanya.

 

Setakat ini, lebih 9,000 bakat Bumiputera telah mendapat manfaat daripada program perakaunan profesional tajaan YP di seluruh negara.

 

Ibrahim menambah pengiktirafan CIMA sebagai ALTI membolehkan laluan pembelajaran lebih langsung, tanpa keperluan melalui institusi perantara.

 

“Ia bertujuan mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan dan memastikan penyampaian silibus dilakukan secara terus daripada badan profesional kepada peserta. Ini satu langkah berani bagi YP dan CIMA,” katanya.

 

Dengan pelantikan ini, kebanyakan program profesional CIMA kini layak di bawah Skim Pembiayaan YP, termasuk CGMA Finance Leadership Programme Skills Plus, Skills Core, CFO Programme, Senior Executive Programme (SEP) dan CIMA–MIA Senior Leaders Programme.

 

YP berkata program-program ini dirangka bagi memperkasakan peserta dalam kemahiran perakaunan pengurusan dan kepimpinan, sebagai persediaan mendapatkan gelaran Chartered Global Management Accountant (CGMA) — kelayakan perakaunan pengurusan paling meluas di dunia, diiktiraf di 188 negara.

 

Individu yang berminat mengikuti program profesional CIMA melalui Skim Pembiayaan YP boleh memohon menerusi portal rasmi CIMA Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pilihan pembiayaan fleksibel yang ditawarkan.

 

Peluang ini dibuka kepada para profesional yang mahu melonjakkan kerjaya, golongan bekerja yang ingin menambah atau meningkatkan kemahiran, serta pelajar universiti yang merancang masa depan dalam bidang perniagaan dan kewangan. - DagangNews.com