X Corp akan bertemu MCMC susulan kontroversi chatbot AI Grok | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

X Corp akan bertemu MCMC susulan kontroversi chatbot AI Grok

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Jan - Penyedia platform media sosial, X Corp, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung chatbot AI Grok yang baru-baru ini disekat sementara.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata MCMC telah menghubungi X pada jam 10 pagi ini untuk menyusun pertemuan minggu depan.

 

“Beberapa perkara perlu disahkan sebelum pertemuan itu. Kami sedang menunggu maklum balas,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.

 

Semalam, Fahmi berkata MCMC mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap X kerana gagal mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya yang dijana oleh Grok.

 

Beliau menambah MCMC telah menghubungi X untuk mendapatkan maklum balas mengenai Grok, namun maklum balas daripada gergasi media sosial itu didapati tidak memuaskan.

 

Grok disekat sementara pada Ahad (11 Jan) susulan penyalahgunaan berulang chatbot AI itu untuk menghasilkan imej lucah, seksual eksplisit, tidak senonoh, amat menyinggung dan manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

 

Sementara itu, Fahmi berkata beliau turut menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Hasnah Hashim, serta mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada Selasa untuk membincangkan Akta Keselamatan Dalam Talian (Onsa).

 

Menurut Fahmi, perbincangan menumpukan kepada cabaran semasa dalam pelaksanaan Onsa, yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan.

 

“Jawatankuasa ini akan membantu memantau dan mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan kemudaratan dalam talian.

 

“Saya berharap jawatankuasa ini berfungsi dengan baik, cekap dan bebas bagi memastikan ruang siber selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” tambahnya.

 

Pada Disember lalu, MCMC memaklumkan bahawa Onsa memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan yang menetapkan tanggungjawab platform untuk mengurus kandungan berbahaya, termasuk kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, pornografi, lucah dan membahayakan diri.

 

Kementerian Komunikasi juga menegaskan bahawa di bawah Onsa, penyedia perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 16 tahun- DagangNews.com