KUALA LUMPUR 14 Jan – Pemegang saham WTK Holdings Berhad dijangka menentukan hala tuju pengambilalihan ekuiti dalam tiga syarikat melibatkan nilai pertimbangan keseluruhan RM555.0 juta.
Menurut kumpulan perladangan dan industri sawit itu, keputusan tersebut akan dilaksanakan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan pada 29 Januari 2026 di Hotel RH, Sibu, Sarawak.
Cadangan pengambilalihan daripada pihak berkaitan, WTK Realty Sdn Bhd itu merangkumi tiga portfolio utama antaranya pembelian tujuh juta saham biasa atau 100% kepentingan dalam Desacorp Sdn Bhd.
"Resolusi kedua melibatkan pemerolehan 14 juta saham biasa atau 70% ekuiti dalam Imbok Enterprise Sdn Bhd melalui anak syarikat penuh WTK, BioPalm Venture Sdn Bhd," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Sementara usul ketiga pula yang akan dibentangkan pada EGM berkenaan katanya, membabitkan cadangan pengambilalihan 70% kepentingan dalam WTK Oil Mill Sdn Bhd, yang juga menerusi BioPalm Venture.
WTK seterusnya menambah, pecahan nilai bagi usaha pembelian ekuiti ke atas ketiga-tiga syarikat tersebut ditetapkan oleh WTK Realty masing-masing pada RM230 juta, RM290 juta dan RM35 juta.
Pelaksanaan korporat ini namun masih tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan dan para pemegang saham seperti yang diperincikan dalam pekeliling bertarikh 14 Januari 2026.
"Bagi melancarkan proses tersebut, Lembaga Pengarah WTK akan diberikan kuasa penuh menandatangani sebarang perjanjian, instrumen atau dokumen yang diperlukan bagi melengkapkan transaksi," katanya.
Jelas kumpulan itu, hanya pemegang saham yang namanya tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 22 Januari 2026 sahaja yang layak menghadiri, mengambil bahagian dan mengundi pada EGM tersebut.
Ahli yang tidak dapat hadir namun boleh melantik proksi untuk bertindak bagi pihak mereka dengan menyerahkan instrumen pelantikan di pejabat pendaftar saham yang ditetapkan di Kuala Lumpur. - DagangNews.com








