KUALA LUMPUR 10 Sept - Syarikat gergasi tenaga Australia, Woodside Energy Group Ltd akan membekalkan gas asli cecair (LNG) ke Malaysia selama 15 tahun menerusi satu perjanjian bekalan yang dimeterai bersama PETRONAS.
Perjanjian jual beli penuh itu ditandatangani antara anak syarikat PETRONAS, PETRONAS LNG Ltd, dan unit Singapura milik Woodside, Woodside Energy Trading Singapore Pte Ltd, menurut kenyataan bersama hari ini.
Di bawah perjanjian ini, Woodside Energy akan membekalkan satu juta tan setahun (Mtpa) LNG ke Malaysia bermula 2028 untuk tempoh 15 tahun.
“Berdasarkan perjanjian ini, LNG akan dibekalkan daripada portfolio global Woodside Energy, yang mungkin merangkumi jumlah dari projek LNG Louisiana yang baru diluluskan di Amerika Syarikat,” menurut kenyataan tersebut.

Pembangunan projek LNG Louisiana Woodside Energy telah diluluskan oleh kumpulan itu pada April tahun ini. Pembangunan berkenaan akan membolehkan Woodside Energy menghantar 24 Mtpa LNG daripada portfolio globalnya pada era 2030-an, menurut kenyataan di laman web kumpulan itu.
Bekalan LNG pertama daripada pembangunan tersebut disasarkan pada 2029.
Perjanjian bekalan LNG selama 15 tahun bersama PETRONAS itu menandakan pencapaian strategik buat Woodside Energy, menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersialnya, Mark Abbotsford, yang menyatakan ia adalah perjanjian bekalan LNG jangka panjang pertama syarikat tenaga itu dengan Malaysia.
Bagi PETRONAS, syarikat minyak dan gas negara itu berkata perjanjian bekalan ini menyokong usaha kumpulan meningkatkan keselamatan tenaga di Semenanjung Malaysia dengan menyepadukan pembangunan huluan bersama import LNG.
Langkah ini hadir ketika permintaan meningkat daripada sektor tenaga dan perindustrian, dipacu oleh pertumbuhan pusat data, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang meluas dan peralihan daripada penjanaan kuasa arang batu.
“Kami melihat gas asli sebagai penyelesaian jangka panjang dalam perjalanan ke arah masa depan karbon lebih rendah,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Dagangan LNG PETRONAS, Shamsairi Ibrahim.
“Kerjasama kami dengan Woodside Energy merupakan langkah penting untuk memastikan bekalan yang boleh dipercayai dan fleksibel bagi ekonomi Malaysia yang berkembang, sambil memperkukuh portfolio global Petronas untuk menyampaikan tenaga secara bertanggungjawab dan mampan,” kata Shamsairi.
Woodside Energy dan Petronas telah lama menjalin hubungan kerjasama, termasuk dalam kajian penerokaan, inisiatif penyelidikan dan pembangunan, serta urus niaga LNG secara spot dan jangka sederhana sebelum ini. - DagangNews.com








