KUALA LUMPUR 20 Nov - Wawasan Dengkil Holdings Berhad (Wawasan Dengkil) mengorak langkah strategik dalam mempelbagaikan pertumbuhan dengan mengumumkan rancangan meneroka segmen tenaga diperbaharui menerusi penglibatan dalam membangunkan loji solar fotovolta skala besar berkapasiti 70 megawatt (MW), di bawah program LSS Petra 5+.
Untuk tujuan tersebut, penyedia perkhidmatan kerja tanah dan pembinaan kejuruteraan awam itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wawasan Dengkil Sdn Bhd (WDSB), memeterai perjanjian pemegang saham dengan Nestcon Infra Sdn Bhd (Nestcon) dan WD Solar Kedah Sdn Bhd (JV Co) bagi membangunkan loji solar fotovolta skala besar di Mukim Ayer Puteh, Kedah.
Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, melalui usaha sama ini, JV Co akan bertanggungjawab membangunkan, membiayai, membina, mengendalikan dan menyenggara projek tersebut, dengan WDSB memegang 70% kepentingan manakala Nestcon memiliki 30%.
"Projek solar itu akan beroperasi di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad, sekali gus menyediakan sumber pendapatan berulang jangka panjang kepada Kumpulan," katanya.
Sejajar pelaksanaan projek baharu ini, Wawasan Dengkil turut mencadangkan pelbagaian aktiviti perniagaan untuk memasukkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan aktiviti berkaitan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan masa depan.
Pengarah Eksekutif Wawasan Dengkil, Lim Soon Yik, berkata usaha mempelbagai tersebut merupakan langkah penting ke arah transformasi syarikat daripada kontraktor berfokuskan pembinaan kepada pelabur dan pengendali aset tenaga boleh baharu.
“Langkah ini membolehkan kami membina pendapatan berulang di samping perniagaan infrastruktur teras. Pengalaman luas kami dalam kerja tanah dan infrastruktur ladang solar menyediakan asas kukuh untuk beralih ke arah pembangunan tenaga boleh baharu,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan permintaan terhadap amalan ESG serta pertumbuhan pesat sektor tenaga solar menjadikan langkah tersebut tepat pada masanya.
Malaysia menyasarkan 70% tenaga boleh baharu daripada kapasiti terpasang menjelang 2050 di bawah NETR, dengan tenaga solar dijangka menjadi pemacu utama sehingga mencapai 59 GW kapasiti terpasang menjelang 2050.
“Kami melihat prospek jangka panjang yang kukuh dalam sektor solar. Usaha sama ini memberi peluang bermakna kepada Wawasan Dengkil untuk menyertai gelombang pertumbuhan itu,” tambahnya.
Usaha Sama Dicadangkan dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, manakala pelbagaian perniagaan akan berkuat kuasa sebaik sahaja menerima kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan datang. - DagangNews.com








