Wawasan Dengkil, Kester teroka kerjasama projek tenaga boleh diperbaharui di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wawasan Dengkil, Kester teroka kerjasama projek tenaga boleh diperbaharui di Kedah

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – Wawasan Dengkil Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wawasan Dengkil Sdn Bhd, meneroka kerjasama dengan Kester Sdn Bhd dalam pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan teknologi hijau di Kedah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang menyaksikan Wawasan Dengkil berperanan sebagai rakan pelaksana projek, manakala Kester bertindak sebagai fasilitator negeri bagi pelaburan RE dan tenaga hijau.

 

Menurut syarikat, Kester merupakan penyelaras dan pemaju bagi semua projek yang melibatkan pelaburan tenaga boleh baharu di Kedah, merangkumi tenaga solar, angin, hidro, biojisim, geoterma, tenaga marin, hidrogen serta sumber tenaga berkaitan lain.

 

“MoU ini bertujuan mempromosikan pelaburan dalam sektor tenaga hijau dan mampan, memudah cara pembangunan projek solar, hibrid, biojisim dan tenaga boleh baharu lain, di samping menyelaras kesiapsiagaan infrastruktur serta fasilitasi kawal selia dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya. - DagangNews.com