KUALA LUMPUR 29 Jan — Vertiv melancarkan Vertiv™ SmartRun, sistem infrastruktur modular pra-fabrikasi digantung yang direka khusus untuk mempercepatkan pemasangan pusat data (DC) di Asia.
Penyedia rumusan teknologi industri yang berpangkalan di Ohio, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, sistem baharu tersebut turut meliputi fungsi aplikasi awan dan latihan kecerdasan buatan (AI).
Sistem berkenaan jelasnya, membolehkan pemasangan sehingga 85% lebih pantas berbanding kaedah tradisional dan menyokong kapasiti melebihi 1MW sehari dilaksanakan oleh satu pasukan sahaja.
"Vertiv™ SmartRun turut menyepadukan pengedaran tenaga, rangkaian paip penyejukan cecair, penahanan lorong panas, dan infrastruktur rangkaian dalam satu rumusan berskala," katanya dalam kenyataan.
Selain itu tambahnya, sistem tersebut diyakini mengatasi cabaran pengurusan haba di DC dijana AI dengan integrasi rangkaian bendalir sekunder (SFN), serta paip pra-fabrikasi daripada keluli tahan karat.
Kaedah ini jelasnya, menyederhanakan reka bentuk, fabrikasi, dan proses permulaan operasi, dengan mengurangkan keperluan tenaga kerja untuk semakan kejuruteraan, pemasangan kabel dan sistem.

Menurut Naib Presiden Produk dan Rumusan Vertiv Asia, Tony Gaunt berkata, kaedah Vertiv™ SmartRun membolehkan operator DC di seluruh Asia dapat mempercepatkan masa untuk penjanaan hasil mereka.
"Malahan sistem baharu ini diyakini menyokong keperluan penyejukan canggih, dan membina fasiliti masa depan tanpa perlu menambah kerumitan operasi," tambah beliau dalam kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, sistem ini disokong oleh Vertiv™ Liquid Cooling Services dan rangkaian global Vertiv™ Services, yang menyediakan sokongan menyeluruh bagi pemasangan serta penyelenggaraan.
Ia turut menawarkan pengoptimuman infrastruktur penyejukan cecair, memastikan pengurusan terma secara cekap dan kebolehpercayaan jangka panjang dalam persekitaran yang berketumpatan tinggi.
Produk tersebut, mula diperkenalkan kepada pasaran Asia pada SupercomputingAsia / The International Conference on High Performance Computing in the Asia‑Pacific Region 2026 di Osaka, Jepun.
Vertiv bertindak sebagai penaja platinum acara persidangan itu, menampilkan rumusan pra-fabrikasi dan integrasi yang dapat memacu pembangunan DC berprestasi tinggi di benua ini. - DagangNews.com








