KUALA LUMPUR 20 Julai – Velesto Energy Berhad (VEB) mengumumkan penamatan kontrak penyediaan perkhidmatan pelantar penggerudian jenis ‘jack-up’ bagi PC Ketapang II Ltd, PC North Madura II Ltd dan PETRONAS North Ketapang Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Velesto berkata anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn Bhd (VED) bersama pihak pelanggan telah bersetuju untuk menamatkan kontrak berkenaan tanpa sebab khusus pada 7 Julai 2026.
“Kontrak tersebut melibatkan penggunaan pelantar penggerudian NAGA 8 bagi menjalankan kerja-kerja penggerudian luar pesisir untuk ketiga-tiga pelanggan berkenaan.
“Kontrak itu telah ditamatkan mengikut Artikel 23.2 (Penamatan Tanpa Sebab) dalam perjanjian kontrak berkenaan.
“Sebelum penamatan dibuat, VED telah berjaya menyiapkan Fasa 1 projek tersebut yang melibatkan tiga daripada 12 telaga yang dipersetujui dalam kontrak dalam tempoh kira-kira lapan bulan operasi,” katanya dalam makluman tersebut.
Velesto berkata penamatan kontrak itu memberi peluang kepada kumpulan berkenaan untuk memasarkan semula NAGA 8 bagi mendapatkan peluang penempatan baharu dengan terma komersial yang lebih baik.
Syarikat itu kini sedang berusaha mendapatkan kontrak baharu bagi memastikan penggunaan NAGA 8 dapat dioptimumkan, selain menyusun semula urutan kerja penggerudian untuk meningkatkan prospek komersial.
Pada masa sama, Velesto menjelaskan NAGA 8 masih digunakan di bawah kontrak berasingan bersama Jadestone Energy (Malaysia) Pte Ltd bagi projek East Belumut Phase 9 infill drilling di luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Kontrak bersama Jadestone itu yang diumumkan pada 25 Februari 2026 bernilai kira-kira AS$16.49 juta (sekitar RM64 juta) dan berlangsung dari Mac 2026 hingga Julai 2026.
Velesto berkata rujukan terhadap kontrak semasa dan peluang akan datang adalah berkaitan dengan kontrak Jadestone serta peluang lain yang sedang diterokai oleh kumpulan itu.
Lembaga pengarah Velesto turut memaklumkan penamatan kontrak berkenaan tidak dijangka memberi kesan kewangan buruk yang ketara terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Ini mengambil kira operasi NAGA 8 yang masih diteruskan menerusi kontrak sedia ada serta usaha berterusan kumpulan untuk mendapatkan peluang baharu dalam sektor perkhidmatan penggerudian minyak dan gas. - DagangNews.com








