KUALA LUMPUR 20 Nov – Velesto Energy Berhad mencatat prestasi kukuh untuk suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3Q2025), apabila keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM50 juta, disokong oleh kadar penggunaan rig yang lebih tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, bagi tempoh suku berkenaan, Velesto merekodkan hasil RM240 juta berbanding RM352 juta pada 3Q2024. Sementara itu, EBITDA berada pada RM115 juta (3Q2024: RM126 juta).
Walaupun hasil lebih rendah, kelebaran margin semakin baik. Margin PAT meningkat kepada 21% (3Q2024: 12%), manakala margin EBITDA melonjak kepada 48% (3Q2024: 36%), mencerminkan peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos yang lebih baik.
Kadar penggunaan rig meningkat ketara kepada 81%, berbanding 57% pada 2Q2025. Purata kadar sewaan harian pula direkodkan pada AS$111,000 sehari, sedikit lebih rendah daripada AS$123,000 sehari pada suku sebelumnya.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim, berkata prestasi suku ini mencerminkan tumpuan berterusan syarikat terhadap pengoptimuman penggunaan rig dan peningkatan standard operasi.
“Kami kekal komited mendapatkan kontrak jangka panjang bagi meningkatkan keterlihatan pendapatan dan menyokong penciptaan nilai mampan. Setakat September 2025, buku pesanan kami berjumlah RM1.1 bilion, disokong tender bernilai RM3.2 bilion,” katanya.
Komitmen Terhadap Nilai Pemegang Saham dan Keselamatan Operasi
Velesto turut mengagihkan dividen interim 0.75 sen sesaham pada 18 November 2025, selari dengan usaha syarikat memberikan pulangan konsisten kepada pemegang saham.
Dalam aspek keselamatan, Velesto mengekalkan reputasi cemerlang dengan 99% kecekapan operasi, serta tiada kejadian Kehilangan Masa Kerja (LTI) dan sifar insiden boleh rekod (TRIF) bagi tempoh tersebut.
Pada masa ini, lima rig Velesto sedang beroperasi di Malaysia, Thailand dan Indonesia, memastikan penggunaan aset kekal optimum. - DagangNews.com








