KUALA LUMPUR 9 Jun – Urban Hallmark Sdn Bhd memperkenalkan projek pembangunan kediaman terbaharunya dikenali sebagai Botanik Point di Taman Zooview, Ampang Jaya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM96 juta.
Projek di atas tanah seluas 1.78 ekar berhampiran Hutan Simpan Ampang itu menawarkan pembangunan berkepadatan rendah sebanyak 46 unit kediaman.
Ia terdiri daripada empat unit rumah berkembar tiga tingkat dan 42 unit rumah berkonsepkan ‘town villa’ menjadikannya antara projek eksklusif di kawasan berkenaan.
Pengasas dan Pengarah Urban Hallmark, Datuk Jeffrey Ng berkata, projek tersebut diperkenalkan bagi memberi fokus kepada ruang, privasi serta gaya hidup berasaskan alam semula jadi.
Menurut beliau, walaupun tapak berkenaan berpotensi dibangunkan sehingga 108 unit kediaman, syarikat memilih untuk mengehadkan jumlah unit bagi mengekalkan kualiti hidup penghuni.
“Keputusan ini dibuat demi kepentingan pembeli rumah pada masa depan. Pembangunan berkepadatan rendah memberikan lebih ruang, keselesaan serta privasi yang lebih baik,” katanya.
Unit rumah berkembar tiga tingkat itu mempunyai keluasan tanah 38 kaki kali 50 kaki dengan keluasan binaan antara 5,500 hingga 5,800 kaki persegi dan ditawarkan pada harga bermula RM4.1 juta seunit.
Sementara itu, unit town villa pula menawarkan keluasan binaan antara 2,200 hingga 2,900 kaki persegi dengan harga bermula RM1.6 juta seunit.
Kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan tapak pembangunan akan dikekalkan sebagai kawasan hijau dan dijadikan kawasan hutan persendirian untuk kegunaan eksklusif penghuni.
Selain berfungsi sebagai ruang hijau, kawasan tersebut juga akan menjadi sebahagian daripada usaha pemuliharaan alam sekitar jangka panjang projek berkenaan.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Pada majlis sama, Urban Hallmark turut memeterai memorandum persefahaman dengan Tropical Rainforest Conservation & Research Centre bagi memastikan kawasan rizab alam semula jadi di projek itu dipelihara melalui usaha pemuliharaan biodiversiti, pemulihan ekologi, pemantauan saintifik, pendidikan alam sekitar serta inisiatif penjagaan jangka panjang.
Selain itu, kawasan hijau projek berkenaan juga menyasarkan pensijilan ArbNet Accredited Arboretum Level 1 sebagai pengiktirafan terhadap usaha pemuliharaan dan pengurusan landskap berasaskan ekologi.
Kerjasama tersebut dijangka memastikan kawasan hijau di Botanik Point bukan sahaja kekal sebagai elemen estetika tetapi juga berfungsi sebagai ekosistem terurus yang memberi manfaat kepada komuniti penghuni dalam jangka panjang. - DagangNews.com








