Untung PATAMI Press Metal melonjak 40% kepada RM563.3 juta, catat rekod terbaharu suku tahunan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung PATAMI Press Metal melonjak 40% kepada RM563.3 juta, catat rekod terbaharu suku tahunan

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 20 Nov – Press Metal Aluminium Holdings Berhad mempamerkan prestasi kukuh apabila keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 melonjak 40% kepada RM563.3 juta, sekali gus mencatat rekod baharu keuntungan suku tahunan syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil Press Metal bagi 3Q FY2025 meningkat 7.9% kepada RM4.08 bilion berbanding RM3.78 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan jumlah jualan serta harga jualan direalisasi yang lebih tinggi, selain kos input yang lebih rendah — terutamanya alumina yang mencatat penurunan ketara berbanding tahun sebelumnya.

 

Namun, prestasi ini sedikit terkesan oleh sumbangan lebih rendah daripada syarikat bersekutu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2025, hasil meningkat 7.2% kepada RM12.16 bilion, manakala PATAMI turut mengukuh 14.6% kepada RM1.51 bilion.

 

Seiring keputusan tersebut, Press Metal mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham yang akan dibayar pada 24 Disember 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Paul Koon berkata ketidaktentuan makro global dan ketegangan geopolitik masih mempengaruhi sentimen pasaran, namun permintaan struktur daripada sektor hijau terus menyokong prospek aluminium jangka panjang.

 

“Permintaan daripada sektor kenderaan elektrik, infrastruktur solar, pelaburan grid serta elektronik pengguna kekal kukuh. Pada masa sama, kekangan kapasiti global dan ketidakseimbangan bekalan serantau turut menyokong harga aluminium, dengan premium meningkat di beberapa pasaran susulan tarif dan perubahan aliran logam,” katanya.

 

Beliau turut menambah penyederhanaan kos input, khususnya alumina, turut membantu meningkatkan daya saing kos kumpulan.

 

“Kapasiti baharu penapisan alumina yang mula beroperasi memberi tekanan menurun ke atas harga, sekali gus menyokong margin kami untuk suku-suku akan datang,” katanya.

 

Press Metal yang kekal sebagai pengeluar aluminium terbesar di Asia Tenggara terus berjaya mengekalkan bahagian pasaran eksport utamanya, memastikan permintaan stabil terhadap produk syarikat di tengah-tengah keadaan pasaran yang mencabar. - DagangNews.com